Marseille ‘buang’ Rami

MARSEILLE, 13 OGOS – Kelab bola sepak Perancis, Marseille hari ini berkata bahawa mereka telah memecat pemenang Piala Dunia, Adil Rami (gambar bawah) yang dilaporkan atas ‘tingkah laku tidak sopan’ susulan satu prosedur disiplin.

Pasukan Ligue 1 itu tidak memberikan sebarang penjelasan atas keputusan itu, hanya berkata bahawa mereka telah membuat ‘keputusan untuk menamatkan kontrak’ Rami, 33, yang merupakan sebahagian daripada skuad yang memenangi Piala Dunia 2018 bersama Perancis.

Harian sukan, L’Equipe, memetik daripada sepucuk surat dari kelab kepada Rami, menyatakan bahawa dia dipecat atas ‘tingkah laku tidak sopan’ selepas dia tidak hadir bagi menjalani latihan untuk mengambil bahagian dalam sebuah rancangan realiti TV.

Pemain pertahanan itu, bekas pasangan bintang Pamela Anderson, telah ditempatkan di bawah siasatan sejak dia terlepas sesi latihan pada akhir musim lepas.

Rami, yang sudah bersama kelab itu selama dua musim, berkata dia mengalami kecederaan tetapi pada hari yang sama mengambil bahagian dalam rakaman rancangan TV Perancis, yang memerlukan aksi fizikal.- AFP