MARSEILLE, 26 April – Sudah suku abad sejak kali terakhir Marseille memahkotakan bola sepak Perancis dengan kejayaan di Eropah, pasukan itu kini mengimpikan kegemilangan benua itu sekali lagi.
Tetapi kelab yang telah memenangi era sulung Liga Juara-Juara tahun 1993, yang mana masih menjadi satu-satunya Piala Eropah yang dimenangi oleh kelab Perancis itu, terlebih dahulu perlu melepasi peringkat separuh akhir menentang Red Bull Salzburg dari Austria, di mana perlawanan pertama akan berlangsung di Velodrome.
Jika Marseille boleh menang di depan lebih 60,000 orang penyokong awal pagi Jumaat ini, ia akan memudahkan tugas mereka dalam perlawanan timbal balas minggu depan dan mengekalkan laluan mereka ke final yang akan diadakan di Perancis, laman pesaing ketat mereka, Lyon.
Memandangkan Atletico Madrid dan Arsenal bertembung dalam satu lagi separuh akhir, Marseille tidak dilihat sebagai pasukan pilihan untuk menjulang trofi itu.
Namun, kemenangan 5-2 ke atas RB Leipzig dalam suku akhir kedua di Velodrome telah mengesahkan bahawa mereka adalah pasukan yang perlu diberikan perhatian sekali lagi di bawah kendalian Rudi Garcia.

Bekas jurulatih Lille dan Roma itu telah menerajui kebangkitan Marseille di atas padang sejak taikun Amerika, Frank McCourt mengambil alih kelab itu pada hujung 2016.
McCourt terus melancarkan ‘Projek Juara’, yang bermatlamat untuk mengembalikan kelab itu ke puncak kejohanan kelab elit Eropah secepat mungkin.
Mereka kini dalam perebutan hebat dengan Lyon dan Monaco bagi dua slot kelayakan Liga Juara-Juara dalam Ligue 1, di belakang Paris Saint-Germain.
Tetapi dengan Florian Thauvin, Dimitri Payet dan Luiz Gustavo berada pada prestasi terbaik mereka, Marseille mempunyai peluang untuk memenangi Liga Europa dan secara automatik melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan. – AFP