Kunjungan penyanyi Marsha Milan ke sebuah rumah kebajikan di ibu negara baru-baru ini meninggalkan kenangan cukup manis buat pemenang Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) yang berlangsung pada 16 Februari lalu.
Mana tidaknya, kehadiran Marsha, 40, dihidangkan dengan nyanyian beramai-ramai lagu Hening Rindu sehingga membuatkan penyanyi berkenaan ternganga.
Marsha atau Marsha Milan Londoh, 40, juga kelihatan sebak kerana tidak menyangka penghuni rumah Baitun Nurrawdhah Kuala Lumpur itu menghafal lagu tersebut dan mengingati lirik.
Kemesraan di antara mereka juga terserlah apabila kanak-kanak itu langsung tidak terlihat kekok ketika bersama Marsha.
“Comel betul mereka menyanyikan lagu Hening Rindu dan jelas mereka sangat menghargai Marsha; Nampak mesra betul mereka dengan Marsha, macam sudah biasa bersamanya sebelum ini; Alhamdulillah, bagus Marsha menyantuni kanak-kanak Tahfiz,” komen warganet.
Siapa sangka rupa-rupanya penyanyi kelahiran Sabah ini sudah lebih 10 tahun menjalinkan hubungan baik dengan penghuni di Baitun Nurrawdhah yang ada di antara mereka merupakan pelajar Tahfiz.
Semuanya bermula apabila Marsha mengenali mereka ketika dia sedang mencari rumah kebajikan untuk bersedekah hidangan sahur ketika Ramadan.
Menerusi perkongsian di Instagram milik syarikat rakaman Marsha iaitu Alternate, penyanyi itu meluangkan masa bersama mereka pada Jumaat.
Dalam hantaran yang dikongsi, Marsha mesra melayani penghuni rumag tersebut, malah sempat menyuapkan makanan kepada mereka.
Difahamkan, anak-anak bawah jagaan pusat tahfiz itu juga mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Marsha dan sering diundang ke rumah untuk menghadiri acara keraian. – Agensi
