Monday, May 5, 2025
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Marsha promosi dialek Sabah ke peringkat ASEAN

    Peluang diterima penyanyi Malaysia, Marsha Milan untuk membuat persembahan pada festival muzik peringkat antarabangsa, ASEAN: Korea Music Festival 2025 Round yang dijadual berlangsung di Malaysia pada Jun depan, akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

    Marsha atau nama sebenar, Marsha Milan Londoh, 40, menyifatkan peluang itu detik keemasan yang tidak boleh dilepaskan kerana bakal menjadi medium untuknya mempromosi budaya Malaysia dengan lebih luas.

    Katanya, dia masih dalam persiapan dan kemungkinan menyampaikan lagu dalam dialek Sabah yang diambil daripada album terbaharu, Misompuru.

    “Menerusi acara ini, saya mungkin menyanyikan lagu daripada album Misompuru.

    “Selagi ada platform yang boleh mempromosikan budaya Malaysia, saya akan gunakan peluang sebaik mungkin.

    “Sejujurnya saya belum terfikir lagi mengenai pilihan lagu, tetapi saya diarahkan menyanyi dalam tempoh 15 hingga 20 minit,” katanya kepada BH Online.

    ASEAN: Korea Music Festival 2025 Round akan menghimpunkan karyawan seni muzik dari 10 negara ASEAN dan Korea bagi berkongsi muzik dengan penonton global, sekali gus mencipta pengalaman festival muzik yang tidak dapat dilupakan.

    Menariknya, Malaysia dipilih menjadi tuan rumah tahun ini. Selain Marsha, turut terpilih mewakili negara adalah kumpulan pop sensasi, Dolla.

    Mengulas perkembangan kerjaya seni, pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39 itu berkata dia sedang dalam pembikinan album solo baharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. – Agensi

    Marsha akan gunakan peluang sebaik mungkin untuk mempromosikan budaya Malaysia. – syazwanrahman.com
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda