Pernah mengalami kegagalan dalam rumah tangga sebelum ini, pelakon Indonesia, Marshanda belum serik untuk kembali berkahwin jika bertemu jodoh.
Marshanda atau Andriani Marshanda, 35, juga memasang impian untuk menambah lagi bilangan cahaya mata.
“Ada orang mungkin rasakan gagalnya pernikahan dulu buatkan mereka trauma dan tidak mahu lagi berkahwin.
“Tapi saya sendiri tidak sebegitu. Saya terbuka cari calon suami.
“Jika ada jodoh pada masa hadapan, saya nak tambah anak lagi,” katanya, memetik laporan mStar.
Dalam pada itu, Marshanda berharap dapat bertemu dengan lelaki dapat menjadi imam kepadanya dan anak perempuannya.
“Saya suka lelaki yang aktif beriadah dan suka berkarya.
“Kalau boleh dia juga mampu untuk jadi ketua keluarga yang baik buat saya dan anak.
“Kalau tak nanti siapa pula mahu beri tunjuk ajar kepada kami untuk ke jalan yang baik,” jelasnya.
Untuk rekod, Marshanda pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Ben Kasyafani pada 2 April 2011 namun bercerai pada 2014.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Sienna Ameerah Kasyafani yang kini berusia 11 tahun. – Agensi