Keinginan mempunyai pasangan hidup bukan lagi keutamaan buat pelakon Marshanda.
Menurut Marshanda atau Andriani Marshanda, 36, dia tidak khuatir sekiranya jodohnya belum tiba memandangkan fokusnya kini lebih kepada keluarga dan kerjaya.
“Pernah juga saya rasa sepi bila berseorangan tapi bila lama-kelamaan ni jadi okay dan fokus beralih kepada kerja dan keluarga saja.
“Saya seronok bila luangkan masa dengan keluarga,” katanya ketika ditemui di Bintaro, Jakarta Selatan.
Sejak berpisah dengan bekas suami Ben Kasyafani pada tahun 2014, Marshanda memberitahu dia banyak belajar menjadi seorang wanita lebih berdikari.
Dalam pada itu, pelakon drama Soleha itu banyak mengisikan kekosongan dirinya itu dengan melakukan hobi kesukaannya seperti menulis puisi atau lirik lagu, kongsi mStar.
“Kalau saya kesepian jadi akan luahkan perasaan tu dengan tulis sebuah puisi atau lirik lagu,” luah Marshanda.
Walaupun sudah lama berstatuskan ibu tunggal namun itu bukan alasan untuk dia mencari pasangan dalam masa terdekat ini.
Ditanya soal berkahwin lagi, Marshanda hanya berserah dan yakin dengan ketentuan jodoh Tuhan buatnya. – Agensi