Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Tindakan pantas tiga orang marsyal bomba bagi sebuah pusat perubatan di Jerudong berjaya untuk memadamkan kebakaran daripada merebak di bangunan pusat perubatan berkenaan dalam insiden yang melibatkan kebakaran elektrik pada 30 Mac lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, lima orang anggota dari Balai Bomba Jerudong yang diketuai oleh DSO Yusof bin Bujang, Cawangan Operasi ‘F’, dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 12:54 tengah hari.
Kenyataan menyatakan kebakaran itu berlaku pada pukul 12 tengah hari dan tiga orang pekerja pusat perubatan berkenaan yang juga diiktiraf marsyal bomba oleh JBP berjaya memadamkan kebakaran berkenaan menggunakan alat pemadam api jenis debu kering 4kg sebelum anggota bomba dan penyelamat sampai.
Anggota bomba dan penyelamat bertindak membawa alat pemadam api jenis debu kering 4kg untuk memastikan tidak ada tanda-tanda api menyala semula. Kenyataan juga menyatakan bahawa tidak ada korban jiwa dilaporkan dengan punca serta anggaran kerugian dalam kejadian berkenaan masih dalam siasatan.
