Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Bahasa dan sastera sebagai unsur penting kebudayaan dan tamadun bangsa dan negara tidak boleh dipandang sepi dalam arus pembangunan negara.
Bahasa Melayu telah berperanan sebagai asas pembentukan jati diri dan citra bangsa rakyat dan penduduk negara ini.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad menekankan perkara itu semasa merasmikan Sambutan Bulan Bahasa 2023 di Ruang Legar, The Mall Gadong hari ini.
Beliau seterusnya menjelaskan, dalam surat-surat keliling juga dinyatakan tentang penggunaan bahasa Melayu dalam urusan-urusan rasmi kerajaan.
“Ini ditambah lagi dengan pemerkasaan tulisan jawi yang telah menjadi satu kemestian pada papan-papan tanda telah memperkukuh bahasa Melayu itu sendiri,” jelasnya.
Pada masa yang sama, jelasnya, ia juga memperlihatkan betapa Negara Brunei Darussalam menyantuni dan memulihara peradaban tinggi yang dimiliki dan dengan falsafah negara Melayu Islam Beraja dan Negara Zikir yang mempunyai nilai kemelayuan komprehensif lagi insklusif juga telah menambah nilai bahasa Melayu.
Katanya lagi, “Bahasa Melayu adalah bahasa perpa-duan, bahasa komunikasi yang menyatukan kita sebagai satu bangsa yang berdaulat dan sebagai orang Brunei, purih Brunei, kita mestilah menggalas tanggungjawab untuk mempertahankannya sebagai identiti nasional dan tidak membiarkan bahasa Melayu itu pupus ditelan zaman.”
Menurut beliau, Sambutan Bulan Bahasa kali ini telah mengundang jabatan-jabatan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) untuk sama-sama berkolaborasi mengadakan pameran yang menjalur kepada inisiatif pemerkasaan bahasa Melayu.
Ini merupakan satu inisiatif yang membanggakan, dalam masa yang sama memperlihatkan kerjasama bersepadu kementerian ini dalam memberi dukungan yang penuh terhadap pemerkasaan bahasa Melayu.
Beliau percaya pameran berkenan pada masa akan datang dapat disertai oleh agensi, jabatan atau kementerian lain supaya pemerkasaan bahasa Melayu akan bertambah ampuh lagi demi menunjukkan usaha nasional yang bersepadu.
“Keterlibatan jabatan atau kementerian lain juga akan menunjukkan kerjasama yang erat yang berstrategikan pendekatan senegara, sekali gus dapat menyuntik rasa pemilikan bersama atau semangat kekitaan bagi mewujudkan rasa bangga dan rasa tanggungjawab rakyat dan penduduk negara ini terhadap bahasa Melayu,” tambah beliau.
Beliau turut mengongsikan, KKBS juga telah telah menjenamakan semula laman webnya dengan menggunakan dwi bahasa iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dan bahasa Inggeris bagi kemudahan para pelayar penutur bukan bahasa Melayu.
“Ini juga merupakan usaha KKBS dalam memberikan impak ‘kemelayuan’ dan kesungguhan KKBS menyantuni bahasa Melayu ke tingkat yang selayaknya,” jelasnya lagi.
Beliau seterusnya berharap, semua rakan strategik kementerian akan memberi sokongan berterusan untuk terus memperkasakan bahasa Melayu dalam setiap wahana.