Friday, December 27, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Martabat hak warga emas

    KUALA LUMPUR – “Pohon bidara di tanah rata, Di atas guni buah kepayang, Marilah pelihara warga emas kita, Hidup harmoni warga penyayang.”

    “Muara Langat nampak bebayang, Indah muara berlabuh bahtera, Warga emas diingat dan disayang, Hidup terpelihara negara sejahtera.”

    Pantun yang diambil daripada buku teks Bahasa Melayu Tahun Lima ini begitu murni mengingatkan perihal pentingnya menghargai golongan ini dan seperti tahun-tahun sebelumnya, Malaysia meraikan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan pada 1 Oktober lepas dan untuk 2023, majlis berlangsung di Ipoh, Perak.

    Tema tahun ini ‘Memartabatkan Hak Warga Emas: Merentas Generasi’ dipilih bagi menghargai sumbangan warga emas terhadap kemajuan dan kemakmuran negara serta membina masyarakat penyayang di pelbagai peringkat masyarakat.

    Dasar warga emas negara

    Dalam tempoh kurang tujuh tahun iaitu tahun 2030, Malaysia dijangka mencapai status negara tua apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk adalah warga emas.

    Bagi memastikan kesejahteraan warga emas tindakan secara proaktif perlu ditekankan melalui penyediaan perkhidmatan kebajikan kepada kumpulan sasar ini. – Gambar Canva

    Berdasarkan Data Banci Penduduk dan Perumahan 2020, peratus penduduk Malaysia berumur 60 tahun dan ke atas meningkat daripada 8 peratus (dua juta) pada tahun 2010 kepada 10.4 peratus (3.4 juta) pada tahun 2020.

    Malaysia juga mencatatkan peningkatan jangka hayat kepada 75.6 tahun pada tahun 2020 berbanding 63.6 tahun pada tahun 1970.

    Untuk itu, tindakan secara proaktif adalah perlu bagi memastikan kesejahteraan warga emas melalui penyediaan perkhidmatan kebajikan kepada kumpulan sasar ini.

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rosmahwati Ishak, antara prinsip Dasar Warga Emas Negara (DWEN) yang diluluskan pada 5 Januari 2011 ialah mengeratkan hubungan antara generasi, dengan matlamat meningkatkan penglibatan warga emas dalam masyarakat pelbagai peringkat umur.

    Untuk itu, JKM merangka beberapa strategi, antaranya memberi tumpuan kepada pembangunan masyarakat inklusif berdasarkan pemerhatian secara berterusan dalam sektor ekonomi dan sosial.

    “JKM memberi fokus kepada usaha memupuk, mengeratkan hubungan dan saling melengkapi melalui aktiviti atau program pengukuhan hubungan dan perpaduan dalam kalangan warga emas dengan pelbagai peringkat generasi.

    “Kami juga mengetengahkan aspek warisan dan hubungan saling menghormati dan bantu-membantu dalam aktiviti atau program yang dijalankan,” katanya kepada Bernama sempena Hari Warga Emas baru-baru ini.

    Menyifatkan tema sambutan tahun ini selari dengan DWEN yang menggariskan komitmen kerajaan untuk mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat dan dihormati, Rosmahwati berkata, perkara itu dapat dilaksanakan dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, sikap positif, aktif dan produktif serta menyokong usaha meningkatkan kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara.

    Tema itu juga, katanya, selari dengan konsep Malaysia Madani dengan antara nilai teras yang digariskan ialah ‘hormat’- yang bertujuan membentuk sebuah masyarakat yang adil, saling hormat menghormati, berdedikasi, mempunyai nilai kesaksamaan dan berintegriti tinggi.

    “Konsep ini membawa kita berganding bahu merentas generasi dalam memartabatkan hak warga emas yang kita hormati dan sanjungi,” katanya.

    Tingkat penuaan aktif

    Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui JKM merancang dan melaksanakan pelbagai program yang menjurus kepada konsep intergenerasi sejak tahun 2018.

    Berdasarkan data JKM, bagi tempoh 2018 hingga 2022, seramai 13,461 orang warga emas, remaja dan kanak-kanak terbabit dalam program intergenerasi.

    “Bagi tahun 2023, sehingga bulan September lepas, sebanyak lapan program berjaya dilaksanakan dengan penglibatan seramai 2,738 orang termasuk warga emas, remaja dan kanak-kanak,” katanya menambah, program intergenerasi bertujuan meningkatkan kesedaran golongan muda terhadap keperluan warga emas dengan membantu mengatasi stereotaip berkaitan usia.

    Program intergenerasi antara lain boleh meningkatkan kesejahteraan dan harga diri warga emas, mengurangkan pengecualian sosial, meningkatkan penuaan aktif serta memupuk interaksi antara generasi muda dengan warga emas melalui perkongsian ilmu.

    Rosmahwati menambah, pemerkasaan program intergenerasi turut dilaksanakan di peringkat sekolah dengan kajian tambahan berkaitan pandangan warga emas dan pelajar.

    “Warga muda wajar dididik dan warga emas yang masih sihat, berpengalaman, berpengetahuan dan berkemahiran seharusnya diberi peluang untuk menunjukkan mereka masih boleh menyumbang secara aktif kepada masyarakat,” katanya.

    Program khidmat bantu di rumah

    Bagi memastikan warga emas berada dalam keadaan selamat walaupun tinggal berseorangan, JKM mengambil inisiatif menggalakkan warga muda atau belia untuk menjadi sukarelawan dalam pelaksanaan Program Khidmat Bantu di Rumah (KBDR).

    “Di bawah program KBDR, sukarelawan memberi perkhidmatan sokongan sosial kepada warga emas di rumah. Program ini juga bertujuan menyemarakkan perkembangan kesukarelawan yang lebih tersusun dan berkesan dalam masyarakat,” katanya.

    Berpendapat penglibatan sukarelawan menerusi Program KBDR membantu melancarkan proses pemerkasaan komuniti untuk pembangunan dan kesejahteraan bersama, Rosmahwati berkata, ia bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memantapkan perkhidmatan ‘community for community’ (K4K) bagi membina integrasi sosial dalam kalangan komuniti setempat secara holistik.

    “Pembabitan sukarelawan tersebut satu lagi komitmen atau tanggungjawab warga muda kepada warga emas walaupun mereka tidak mempunyai pertalian darah.

    “Program ini bukan sekadar memberikan perkhidmatan sokongan sosial kepada warga emas malah menyediakan perkhidmatan pemulihan, penjagaan dan pengintegrasian warga emas oleh sukarelawan dalam komuniti,” katanya.

    Menerusi program KBDR, beliau berkata, ia secara langsung dapat mengurangkan kemasukan warga emas ke institusi kebajikan kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekali gus menyokong usaha JKM dalam menjayakan program Deinstitutionalisation (DI).

    Program DI merujuk kepada mengurangkan penempatan warga emas di institusi dan menjadikan kemasukan ke institusi adalah pilihan terakhir.

    Sehingga 31 Disember 2022, Rosmahwati berkata, seramai 2,225 sukarelawan di seluruh negara memberi bantuan melalui khidmat KBDR kepada seramai 6,950 warga emas.

    “Khidmat bantuan (mengikut keperluan) yang boleh diberikan oleh sukarelawan kebajikan termasuklah menyediakan makanan dan minuman, pembersihan diri (memandikan, memotong kuku) menyikat rambut, menjadi rakan berbual, menjalankan aktiviti riadah dan mengemas atau membersihkan tempat tinggal dan persekitaran.

    “Sukarelawan juga membasuh, menyidai dan melipat pakaian; memberikan perkhidmatan fisioterapi (bagi yang berkelayakan) serta memberi latihan praktikal mengenai teknik penjagaan kepada penjaga serta membawa ke hospital atau klinik untuk tujuan rawatan dan mengambil ubat,” katanya.

    Perancangan akan datang

    Memetik ucapan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu pada sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2023, kementerian itu menyasarkan untuk menubuhkan lebih banyak Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di seluruh negara berdasarkan populasi warga emas di sesebuah kawasan, sebagai usaha mendepani cabaran Negara Menua 2023.

    Aiman Athirah berkata, KPWKM sedang berusaha memperluas kerjasama strategik dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membantu kerajaan dalam memberi perkhidmatan kepada warga emas.

    Beliau menambah, hala tuju baharu perkhidmatan warga emas yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 seperti pewujudan Pangkalan Data Berpusat Warga Emas (eWE) dan pemerkasaan PAWE diharap memberi impak nyata terhadap kesejahteraan warga emas di negara ini.

    Mengulas perkara itu, Rosmahwati berkata, program intergenerasi yang dilaksanakan JKM akan terus diperluaskan dengan menggunakan PAWE sebagai platform.

    “PAWE adalah satu perkhidmatan bercorak pendamping sosial dan pembangunan kepada warga emas yang melibatkan kerjasama strategik antara KPWKM dengan agensi kerajaan yang lain serta NGO. Program di PAWE menekankan pembangunan potensi warga emas untuk menyumbang khidmat bakti dan kepakaran kepada komuniti setempat,” katanya.

    Beliau menambah, berdasarkan kepakaran dan pengalaman warga emas PAWE dapat dijadikan sebagai platform untuk mewujudkan hubungan timbal balik antara warga emas dan orang muda termasuklah remaja dan kanak-kanak.

    “Pelaksanaan program di PAWE perlu mengambil kira minat kedua-dua pihak, mengenal pasti aktiviti yang sesuai untuk mereka, mengambil kira lokasi dan masa yang sesuai untuk dilaksanakan supaya aktiviti yang dijalankan dapat memenuhi keperluan dan kemahiran mereka dan memberi impak yang baik,” katanya.

    Setakat ini, sebanyak 161 buah PAWE ditubuhkan di seluruh negara dengan ahli yang berdaftar berjumlah 52,000 orang. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda