KUALA LUMPUR, 24 OGOS – Mula berjinak-jinak dengan seni jahitan ketika baru berusia empat tahun, kini hasil tangan Nurul Wahidah Mustafa mengangkat songket Malaysia ke luar negara seperti Singapura dan Brunei Darussalam.
Menggunakan jenama Karya Songket, Nurul Wahidah, 35, boleh berbangga kerana kain songket yang dijadikan antaranya beg tangan itu turut mendapat sambutan golongan ternama dan kerabat diraja.

“Saya sudah mula mencipta dan menjahit sendiri bekas pensel daripada kain perca untuk dijadikan hadiah buat kawan-kawan sejak berusia empat tahun. Ada juga yang menempah kantung telefon, sarung bantal dan sebagainya sebagai sokongan kepada minat saya pada masa itu,” kongsinya dengan Bernama.
Keunikan beg yang dihasilkan oleh wanita ini antaranya ialah gabungan teknik moden dan rekaan yang menepati cita rasa generasi baharu berdasarkan pandangan dan cita rasa pelanggan termasuk aspek warna dan gaya dalam memastikan kerja tangannya kekal relevan dan diminati.

Bukan sekadar aksesori pelengkap penampilan, beg tangan songket ini turut dijadikan cenderamata rasmi oleh beberapa organisasi sekali gus menjadi lambang warisan budaya yang dibawa ke pentas antarabangsa.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) ini pernah berkhidmat dan menimba pengalaman sebagai pensyarah dalam bidang sama, namun ‘jodoh’ cuma bertahan selama setahun kerana beliau lebih serasi dalam dunia kraf tangan.

“Saya berdepan kesukaran untuk mencari pekerjaan dengan kelulusan yang ada, jadi saya teruskan usaha menjana pendapatan dengan menjahit beg menggunakan kain kapas dan batik. Saya cuba jual dalam talian.
“Waktu itu (2018) ada pelanggan cadangkan agar saya buat beg daripada kain songket. Oleh sebab susah nak dapatkan kain songket, saya guna samping yang ada di rumah. Tak sangka ramai yang berminat dengan beg songket itu,” imbasnya.


Berkongsi cabaran menghasilkan beg buatan tangan sepenuhnya itu, anak bongsu daripada lima beradik tersebut berkata selain memerlukan kemahiran teknikal dan seni rekaan, proses pembuatan mengambil masa serta menuntut ketekunan dan kesabaran yang tinggi.
“Sifat kain songket ini sensitif seperti cepat berkedut dan tidak boleh dilipat sembarangan, jadi saya belajar sendiri teknik yang betul menerusi video, kumpulan dalam talian dan perkongsian dalam komuniti pembuat beg,” jelasnya.
Walaupun hanya beroperasi dari rumah secara kecil-kecilan tanpa pembantu, beliau berharap agar suatu hari nanti dapat membuka bengkel sendiri dan berkongsi ilmu dengan masyarakat, terutamanya golongan wanita yang berminat menjana pendapatan melalui kemahiran menjahit.
Mampu menyiapkan kira-kira 50 beg sebulan yang dijual secara eksklusif dengan kuantiti terhad secara dalam talian, setiap aksesori anggun itu ditawarkan pada harga serendah RM79 hingga RM199.
Menggunakan material songket komersial sebagai asas rekaannya, usahawan itu berhasrat menjadikan tenunan itu lebih inklusif dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengorbankan keindahan atau identiti budaya.
“Songket ini ada jiwa. Bila dipakai, ia menyerlah walaupun dengan pakaian biasa. Ia bawa identiti kita sebagai bangsa yang ada seni, ada sejarah dan ada nilai,” katanya yang melihat songket bukan sekadar warisan, tetapi platform ekspresi, inovasi dan jati diri.
Melalui setiap jahitan, beliau menyulam semangat untuk memastikan seni warisan itu terus hidup dan dikenali generasi akan datang. – Bernama

