Sunday, April 13, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Martabatkan Bahasa Melayu

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Orang ramai diseru untuk memperkasakan, memartabatkan dan melestarikan Bahasa Melayu, bahasa kita selain untuk terus berpegang teguh kepada Bahasa Melayu sebagai identiti dan jati diri terutama dalam berdepan dengan cabaran atau peluang daripada arus globalisasi.

    Seruan berkenaan dibuat oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Sambutan Bulan Bahasa 2021 dengan tema ‘Memperkasakan Bahasa Melayu’ di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.

    Mengulas mengenai tema sambutan berkenaan, beliau berkata bahawa ia memanifestasikan perakuan sebagai bangsa Melayu yang sentiasa memelihara serta memperkasakan martabat kedaulatan bahasa Melayu.

    Menurutnya, hal ini selari dengan tujuan Sambutan Bulan Bahasa untuk menyemarakkan kecintaan terhadap bahasa rasmi negara kerana bahasa merupakan kayu ukur suatu bangsa yang mencerminkan jiwa bangsa itu sendiri dalam rangka membangun akhlak atau budi pekerti sebagai satu negara yang merdeka.

    Sehubungan itu, langkah mempelbagaikan dan memperhebatkan lagi kegiatan sambutan kali ini melalui pendekatan Whole of Nation amatlah tepat pada masanya. “Ini mengingatkan kita bahawa usaha untuk menyemarakkan dan melestarikan martabat kedaulatan bahasa Melayu adalah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap agensi, warganegara dan penduduk negara ini,” jelasnya.

    Hala tuju Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lambang jati diri, tegas beliau, seharusnya difahami, dihayati dan diusahakan bersama-sama. “Selaku orang Brunei, apa yang paling penting ialah kepekaan kita terhadap keadaan dan penjagaan ‘Melayu’ sebagai salah satu teras falsafah Melayu Islam Beraja,” ujarnya.

    Beliau seterusnya menambah, sambutan kali ini akan memberikan nilai tambah dalam menjamin kegemilangan, kerelevanan, dan kelangsungan martabat Bahasa Melayu secara berterusan.

    Pada majlis itu, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut menyertai dalam bacaan Ikrar Bahasa yang dipimpin duta bahasa, peserta pidato kebangsaan dan wakil institusi pengajian tinggi, pegawai dan kakitangan DBP yang diketuai oleh penerima Anugerah Duta Bahasa 2015.

    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan semasa menyertai bacaan Ikrar Bahasa di majlis tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda