LOMBOK, 29 SEPT – Jorge Martin menjuarai MotoGP Indonesia hari ini, mengukuhkan pendahuluan dalam kejuaraan dunia, manakala pencabar terdekat, Francesco Bagnaia, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Kemenangan itu meletakkan pelumba pasukan Pramac itu 21 mata di hadapan Bagnaia dari Itali, yang meraih tempat ketiga di belakang Pedro Acosta dari Sepanyol dalam keadaan cuaca panas terik di Litar Mandalika, Pulau Lombok.
Dengan kehadiran seramai 60,000 penonton di Indonesia yang terkenal dengan peminat motosikalnya, Martin, 26, bangkit selepas tergelincir dalam perlumbaan sprint kelmarin, sekali gus memadamkan kelebihan yang diperoleh Bagnaia selepas memenangi perlumbaan itu.
“Terima kasih, Indonesia. Saya sangat gembira. Ini bukan sekadar kemenangan. Selepas apa yang berlaku musim lalu dan kemalangan semalam, untuk beraksi seperti ini adalah sangat sukar,” kata Martin.
“Saya percaya pada diri sendiri tetapi saya rasa seperti akan terjatuh di setiap selekoh. Pedro memberikan tekanan yang hebat, jadi saya sangat gembira.”
Perlumbaan menyaksikan pertarungan sengit sesama pelumba Itali untuk tempat ketiga, antara Bagnaia, Enea Bastianini, Franco Morbidelli dan Marco Bezzecchi.
Namun, Bagnaia, yang memenangi perlumbaan di Mandalika tahun lalu, berjaya menduduki tempat ketiga selepas rakan sepasukannya, Bastianini, terjatuh dengan baki enam pusingan dan dia memintas Morbidelli.
“Perlumbaan yang sangat sukar. Saya menghadapi banyak masalah di awal perlumbaan. Ini adalah kali kelima berturut-turut kami menghadapi masalah di awal perlumbaan. Kami perlu perbaiki bahagian itu,” kata Bagnaia kepada pemberita.
“Sebaik sahaja saya kembali ke hadapan, saya dapat menekan, tetapi ia sudah terlambat.”
Bagaimanapun, selepas pelumba melintasi garisan penamat, diumumkan bahawa Acosta sedang disiasat kerana pelanggaran tekanan tayar, yang berpotensi memberi Bagnaia peluang meraih tempat kedua dan empat mata tambahan, mengurangkan jurang mata dengan Martin kepada hanya 17. – AFP