Martin O’Neill letak jawatan

DUBLIN, 21 Nov – Martin O’Neill (gambar bawah) meletak jawatan sebagai pengurus Ireland hari ini selepas lima tahun membimbing pasukan itu, susulan prestasi teruk sehingga mereka tersingkir dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah.

Bekas pengurus Celtic dan Leicester, yang menggantikan Giovanni Trapattoni pada November 2013, meletak jawatan dengan persetujuan bersama pasukan itu, ketika pembantu pengurus Roy Keane juga meletak jawatan dengan Persatuan Bola Sepak Ireland (FAI).

O’Neill memimpin Ireland mara ke perlawanan 16 pasukan terakhir di kejohanan Euro 2016 dan membawa kemenangan pasukan itu ke atas Jerman dan Itali ketika dia mengurus perlawanan sebanyak 55 kali.

Dia juga mengetuai Ireland ke perlawanan playoff untuk Piala Dunia 2018 di Rusia.

“Bagi pihak lembaga FAI, saya mengucapkan terima kasih kepada Martin, Roy, dan pasukan pengurusan untuk peranan mereka dengan pasukan Republik Ireland sejak lima tahun yang lalu,” kata presiden FAI, Donal Conway.

“Martin memastikan kami menikmati malam-malam hebat di Stadion Aviva dan di Lille, Vienna, dan Cardiff, yang hebat untuk bola sepak Ireland.” FAI berkata lembaganya akan

mengadakan mesyuarat dengan segera untuk membincangkan proses merekrut seorang pengurus baharu bagi menggantikan O’Neill. – AFP