Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Martin sekat Bagnaia untuk menang MotoGP Jerman

    SACHSENRING, 18 JUN – Jorge Martin mengenepikan juara dunia, Francesco Bagnaia dalam pertempuran yang sengit dalam 10 pusingan terakhir untuk memenangi MotoGP Jerman hari ini, sekali gus mengurangkan pendahuluan penunggang Itali itu dalam kedudukan carta.

    Selepas menewaskan Bagnaia dalam perlumbaan pecut kelmarin, Martin, seorang pelumba Sepanyol yang berlumba untuk pasukan Pramac Ducati, kali ini menahan serangan balas lewat untuk memenangi perlumbaan. Pelumba Pramac satu lagi dari Perancis, Johann Zarco, melengkapkan podium di tempat ketiga.

    Kelmarin, Martin, bermula dari barisan kedua grid, memintas Bagnaia yang menunggang jentera Ducati, yang menduduki tempat teratas pada pusingan keempat. Hari ini, dia memulakan langkahnya lebih awal dan mengambil tempat pertama pada pusingan ketiga.

    Bagnaia mengejar dan memintasnya dengan baki 10 pusingan tetapi Martin membalas dan mendahului semula.

    Bagnaia terus mengasak kuat dan motosikal mereka bersentuhan pada pusingan kedua terakhir, tetapi kedua-dua pelumba kekal di dalam perlumbaan dan Martin kekal di hadapan untuk meraih kemenangan keduanya dalam perlumbaan utama MotoGP. Kemenangannya sebelum ini ialah di Grand Prix Styria di Austria pada 2021.

    Dengan 144 mata secara keseluruhan, Martin, mengurangkan pendahuluan kejuaraan Bagnaia kepada 16 mata.

    Marco Bezzecchi berada di tempat keempat dan Luca Marini kelima. Kedua-duanya berlumba untuk Mooney Ducati, memberikan pengeluar Itali itu lima tempat teratas. – AFP

    Aksi Martin (depan), bersaing dengan Bagnaia semasa Grand Prix Jerman, di litar perlumbaan Sachsenring, Hohenstein-Ernstthal, Jerman, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda