Friday, November 15, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Martinez muncul wira Argentina

    HOUSTON, 5 JULAI – Tidak dinafikan adalah sukar bagi penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez, untuk menjadi wira bagi penentuan sepakan penalti seperti mana yang berlaku semasa Piala Dunia di Qatar pada 2022 tetapi itu pastinya tidak akan menghalangnya untuk mencuba lagi pada Kejohanan Euro kali ini.

    Penjaga gol itu, yang dikenali sebagai El Dibu oleh peminatnya, telah menyelamatkan dua tendangan dengan cemerlang dalam penentuan sepakan penalti untuk membolehkan pasukannya menang 4-2 semasa menentang Ecuador pada suku akhir Copa America, kelmarin.

    Perlawanan tersebut telah berakhir dengan keputusan 1-1 sehingga masa penamat yang kemudiannya mengheret permainan terus kepada penentuan penalti tanpa perlu bermain pada masa tambahan mengikut peraturan Copa.

    Semasa Lionel Messi melakukan sepakan pembukaan penalti yang tersasar ke atas palang, hampir 70,000 penyokong di Stadium NRG telah menganggap pertahanan kejuaraan Argentina hampir berakhir.

    Walau bagaimanapun, Emiliano Martinez telah menjadi penyelamat keadaan apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti sepertimana yang dilakukannya ketika menentang Colombia, pada separuh akhir Copa di Brazil pada 2021 dan kemudian menentang Belanda pada suku akhir Piala Dunia.

    “Dibu sangat menakjubkan. Dia telah banyak menyelamatkan dan memberi ketenangan fikiran kami. Kami cuba melakukan perkara yang sama untuknya, tetapi dalam detik-detik penting ini dia sentiasa ada,” kata pemain tengah, Rodrigo De Paul. – AFP

    Caicedo (kiri), bersaing dengan Lisandro Martinez untuk mendapatkan bola semasa kejohanan Copa America Conmebol 2024 di Stadium NRG di Houston, Texas, pada 4 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda