KALININGRAD, 29 Jun – Jurulatih Belgium, Roberto Martinez melahirkan kegembiraan berikutan kemenangan pasukan simpanannya ke atas England yang memastikan tangga teratas Kumpulan G Piala Dunia dan mencetus pertembungan pusingan 16 terakhir menentang Jepun.
Martinez melakukan sembilan perubahan daripada pasukan yang membenam Tunisia 5-2 dan Adnan Januzaj meledak gol tunggal dengan rembatan mengagumkan pada minit ke-51 menentang pasukan England yang turut berubah dan turun tanpa Harry Kane.
Perdebatan hebat sebelum perlawanan itu lebih mengenai tahap keinginan kedua-dua pasukan untuk menang kerana muncul naib juara jelas menjurus kepada laluan mudah sepanjang pusingan kalah mati.
“Kemenangan ini disebabkan oleh persembahan yang amat bagus. Anda tidak boleh merancang senario ideal, anda sudah saksikan negara besar tersingkir,” kata Martinez.

“Kami perlu melihat kepada diri sendiri. Kami kini kelompok yang lebih kuat berbanding sebelum perlawanan.”
Martinez menegaskan beliau “bangga dengan cara kami memenanginya.”
“Ramai pemain baharu tampil terdesak untuk membuktikan keupayaan mereka dan ia menggembirakan saya,” ujarnya. “Kami memiliki pasukan yang lebih kuat berbanding 90 minit lalu.”
Belgium akan berdepan Jepun di Rostov-on-Don Isnin ini, manakala England menentang Colombia di Moscow, sehari kemudian. – AFP