SOCHI, 19 Jun – Jurulatih Belgium Roberto Martinez bimbang terhadap permainan agresif barisan pertahanan lawan terhadap Eden Hazard yang boleh menyebabkan pasukannya kehilangan ketua pasukan dan pemain bintang di Piala Dunia.
Belgium meraih kemenangan 3-0 ke atas pendatang baharu, Panama di Sochi dengan Dries Mertens membuka jaringan sebelum dua gol dihasilkan oleh Romelu Lukaku.
Bintang Chelsea, Hazard menjadi arkitek kepada dua gol Lukaku ketika pemain Red Devils itu mengatasi separuh masa pertama yang sukar dalam pertemuan Kumpulan G. Tetapi perlawanan juga dicemari dengan beberapa aksi kasar dengan lima pemain Panama dilayangkan kad kuning oleh pengadil dari Zambia, Janny Sikazwe.
“Ia cukup membimbangkan kerana mungkin sebarang kekasaran boleh menyebabkan dia cedera,” kata Martinez.
“Semua orang dibenarkan untuk membuat persiapan bagi mana-mana perlawanan yang anda mampu. Ia dibenarkan dan ia adalah sebahagian daripada peraturan, dan anda juga mempunyai risiko untuk melihat pemain dibuang padang.
“Kebimbangan saya adalah dalam salah satu kekasaran, kami akan kehilangan peluang untuk menikmati pemain berkualiti seperti Eden Hazard. – AFP