Keputusan penyanyi Mas Idayu bercerai dengan bekas suami iaitu Muhammad Sufian Che Isa bukan dibuat mengikut perasaan, sebaliknya sudah difikirkan secara mendalam.
Mas atau Mas Idayu Mesnun, 53, berkata, dua tahun dia cuba mempertahankan rumah tangga mereka namun akhirnya yakin penceraian adalah jalan terbaik.
Kata Mas, sebelum memfailkan penceraian, dia turut merujuk kepada pihak lebih arif selain memohon kepada Allah SWT agar diberikan jalan keluar dan penyelesaian.
“Dua tahun saya bertahan sebab sayangkan perkahwinan ini tapi apabila rujuk kepada kadi yang menikahkan kami, ustaz serta mutawif saya layak (mohon cerai) bukan suka-suka.
“Saya solat Istikarah setiap malam untuk minta petunjuk malah sepanjang bulan Rejab saya bersujud mohon bantuan dan petunjuk Allah,” katanya kepada mStar.

Mas berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Air Titik ke Batu yang berlangsung pada petang Rabu.
Bercakap lanjut mengenai penceraiannya, Mas mengakui memfailkan penceraian di Mahkamah Syariah tanpa pengetahuan Sufian.
Bagaimanapun kata Mas, dia tidak pernah cuba menyorok kemunculannya di mahkamah namun yakin Allah membantu melindungi aib mereka daripada tersebar.
“Saya tuntut cerai tetapi tidak bercerita kepada orang, Allah bantu saya lindungi aib tentang penceraian kami,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mas meberitahu dia kini menemui kebahagiaan selepas bercerai dengan Sufian.
Pun begitu, wujud rasa bersalah dalam dirinya kerana perkahwinan mereka sebelum ini bukan sahaja direstui peminat tetapi mendapat pelbagai sokongan dan tajaan.
“Saya tak sedih tentang penceraian cuma ralat dan berasa kasihan kepada mereka yang menaja perkahwinan kami. – Agensi