KUALA LUMPUR, 17 April – Syarikat penerbangan khusus Malaysia Airlines bagi membawa jemaah Haji dan Umrah dijangka memulakan operasi pada akhir tahun depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS, Peter Bellew.
Beliau berkata pesawat pertama membawa jemaah ke tanah suci Mekah itu yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan juga dari seluruh dunia dijangka tersedia bagi jemaah yang akan mengerjakan Umrah pada Disember 2018 dan Januari 2019.
“Kami akan dapat membawa enam pesawat dan ia telah disesuaikan dengan penyediaan ruang solat, tempat wuduk bagi memberi kemudahan dan keselesan kepada jemaah dalam perjalanan mereka ke Arab Saudi bagi mengerjakan ibadah,” katanya.
CEO MAS itu berkata demikian semasa sesi wawancara bersama Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Mikhail Raj Abdullah dalam program perniagaan baharu rancangan bual bicara BNC ‘Biz Talk’.
Program bersiaran selama 30 minit itu yang dihoskan oleh Mikhail dan Masrenny Masri, disiarkan setiap Jumaat pukul 8.30 malam di saluran CH502 Astro, Hyppy TV, MYTV dan boleh dilayari di www.bernama.com.

BNC juga akan menyiarkan wawancara penuh selama 30 minit dengan Bellew itu pada pukul 8.30 malam, Isnin, 17 April, di saluran Ch502 Astro, Hyppy TV, MYTV di mana beliau juga akan membicarakan mengenai penyusunan semula syarikat itu, pengembangan laluan dan pelbagai perkara lain.
Bellew, yang mengambil alih jawatan CEO MAS pada 1 Julai, 2016, berkata bagi syarikat penerbangan Haji baharu itu, yang juga dikenali sebagai Project Hope, MAS akan mengubahsuai enam pesawat Airbus A380 bagi pakej Haji/Umrah.
“Kos juga akan dikekalkan kerana kami akan mempunyai pesawat besar dengan bilangan tempat duduk yang menjimatkan,” katanya. Beliau berkata MAS menggunakan pesawat A380 ke Arab Saudi bagi jemaah yang mengerjakan Haji/Umrah dan ia sangat berjaya.
“Ketika ini, kami menyediakan hanya di bawah 500 tempat duduk dan ia boleh dipasang lebih 600 tempat duduk dan itulah yang kami rancang lakukan pada 2018. Kami akan menggantikan tempat duduk dan memasang set baharu, menambah tempat duduk tambahan. – Bernama