MANCHESTER, 13 MEI – Ruben Amorim merasa ragu tentang masa depannya di Manchester United selepas satu lagi prestasi buruk apabila tewas 2-0 di tempat sendiri kepada West Ham Ahad lalu.
Tiga hari selepas United mara ke final Liga Europa, mereka ‘diketuk’ dengan kekalahan buat kali pertama dengan kelab Hammers di Old Trafford sejak 2007.
Tomas Soucek dan Jarrod Bowen menjaringkan gol pelawat ketika United, yang dahulunya pernah menjadi raja bola sepak Inggeris, mengalami kekalahan ke-17 dalam 36 perlawanan liga musim ini dan menduduki tempat ke-16.
“Bagi saya kebimbangan terbesar ialah perasaan bahawa ‘Ia OK’ dan ‘kami tidak boleh mengubah kedudukan kami jadi ia OK’,” kata Amorim.
“Itulah masalah terbesar dalam kelab kami pada masa ini apabila tiada rasa bimbang bahawa kami adalah kelab besar dan ia adalah penghujung dunia untuk tewas dalam perlawanan di tempat sendiri.”
Jurulatih Portugal berusia 40 tahun itu menambah ia adalah “perasaan paling berbahaya yang awda miliki dalam sebuah kelab besar”, dengan United tidak memenangi gelaran Liga Perdana sejak Alex Ferguson bersara pada 2013.
Amorim, ditanya bagaimana perasaan melihat pasukannya begitu rendah dalam Liga Perdana, menjawab: “Bagaimana seorang pengurus Manchester United sepatutnya berasa dalam kedudukan seperti ini? (sudah tentu) malu dan sukar untuk diterima.”
Dan dia berkata perlawanan akhir Liga Europa dengan rakan seperjuangan Inggeris Tottenham di Bilbao pada 21 Mei tidak dapat mengalihkan perhatian daripada masalah domestik United.
“Perlawanan akhir bukanlah satu isu pada masa ini dalam kelab kami. Kami mempunyai perkara yang lebih besar untuk difikirkan dan kami perlu mengubah banyak perkara pada penghujung musim,” kata Amorim.
Dengan hanya enam kemenangan liga sejak menggantikan Ten Hag, Amorim berkata United, “perlu mengubah banyak perkara pada musim panas” dan mempersoalkan masa depannya sendiri jika dia tidak dapat melakukan perubahan dengan ketara.
“Saya tidak mahu bercakap mengenai pemain,” kata Amorim. “Saya bercakap tentang diri saya dan budaya dalam kelab dan budaya dalam pasukan.
“Kami perlu mengubahnya dan kami perlu benar-benar kuat pada musim panas dan menjadi berani kerana kami tidak akan mempunyai musim depan seperti ini. Jika kami bermula seperti ini, atau jika perasaan itu masih ada, kami harus beri ruang kepada orang lain.” – AFP
