FLORENCE – Tommaso Pestelli, seorang tukang emas, diusir dari bengkel bersejarahnya di Florence.
Bengkel tersebut akan digantikan dengan sebuah hotel mewah. Pengusiran itu adalah contoh kesan negatif dari pelancongan besar-besaran yang menurut para pengkritik sedang merosakkan bandar Florence di Itali.
Desakan untuk tindakan segera melindungi pusat bandar, tapak UNESCO, semakin meningkat bulan lalu selepas seorang pengarah muzium berkata pelancongan ‘langgar dan lari’ telah mengubah Florence.
Kira-kira 1.5 juta pelancong membanjiri bandar itu musim panas lalu, meningkat 6.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, sementara bilangan kedai bebas dan pangsapuri kediaman yang bertukar menjadi kedai makanan segera dan penginapan percutian semakin meningkat.
“Kami telah beroperasi sejak tahun 1908. Jika awda menghapuskan kami, awda akan mengambil sebahagian daripada semangat bandar ini,” kata Pestelli, yang mana ayah, datuk dan moyangnya juga seorang tukang emas sebelum ini.
Pestelli, 55, berjaya mencari bengkel kecil lain berdekatan, tetapi berkata ramai rakan artisannya tidak begitu bernasib baik.
Kos purata sewa bulanan kediaman meningkat 42 peratus antara 2016 dan 2023, manakala bilangan pangsapuri yang disenaraikan di Airbnb melonjak dari kira-kira 6,000 kepada hampir 15,000, menurut angka rasmi.
Malah, pada bulan Februari, barisan pelancong beratur panjang di sekitar Duomo dan memenuhi kawasan sekitar Michelangelo’s David.
Dengan penduduk tempatan terpaksa berpindah dan kedai tradisional hilang, ’Florence menjadi kotak kosong’, kata Pestelli.
Elena Bellini, 47, yang menjual karya artis tempatan, berkata penurunan dalam bilangan penduduk jangka panjang membunuh kawasan kejiranan dan telah menyebabkan banyak jenayah berlaku, seperti cubaan pecah rumah.
“Florence sedang mati!” satu notis dipaparkan di tingkap kedai emas yang menyatakan bandar itu telah ‘dijual’ kepada perniagaan besar.
LARANGAN AIRBNB
Bukan bandar Tuscany sahaja yang mengalami masalah itu, malah Venice dan destinasi popular lain seperti Cinque Terre di barat laut Itali juga melihat penduduk tempatan diusir oleh sewa yang melambung tinggi, tapak yang sesak dan kedai cenderamata yang banyak.
Ketika Venice sedang menguji sistem tiket, pelawat harian akan dikenakan bayaran masuk pada musim puncak, majlis bandar Florence yang berhaluan kiri telah melancarkan kempen untuk menarik pelancong dari pusat bandar.
“Orang ramai banyak mencari ‘jadual perjalanan berasaskan pengalaman’, jadi kita perlu mempromosikan tempat lain yang mempunyai kepentingan sejarah, artistik, alam semula jadi dan gastronomi,” kata Timbalan Datuk Bandar Alessia Bettini kepada AFP.
Lawatan ke sekitar kampung, istana dan gereja meningkat 4.5 peratus pada bulan Januari, manakala bilangan pendaki yang merentasi Apennines ke Bologna meningkat 22 peratus tahun lalu.
Majlis itu juga telah cuba membebaskan rumah untuk penduduk tempatan dan menghalang sewa dari terus meningkat dengan melarang penyewaan percutian persendirian jangka pendek yang baru di pusat bersejarah.
Langkah itu, yang diterima pakai pada bulan Oktober, juga termasuk pengecualian cukai untuk tuan rumah jika mereka kembali kepada pajakan biasa.
HILANG SELAMANYA
Walaupun dengan larangan tersebut, ramai artisan telah diusir dari bengkel di sebuah bangunan berhampiran Ponte Vecchio, yang rancangan untuk diubahsuai bagi tujuan pelancongan.
“Tradisi tukang emas Florence mengalami kejatuhan dengan cepat,” kata Pestelli.
Beberapa jarak perjalanan dari situ, Gabriele Maselli, presiden Persatuan Perniagaan Bersejarah Florence, mengecat bingkai gambar emas dengan tangan, deretan periuk dan serbuk berwarna terang menghiasi rak di belakangnya. Terdapat juga orang yang sedang membaik pulih permukaan lukisan yang rosak.
“Orang datang ke Florence untuk membeli barang-barang berkualiti, yang dibuat teliti menggunakan tangan. Jika perniagaan terpaksa ditutup, ia akan memberikan kesan kepada seluruh rantaian pengeluaran. Satu dunia akan pupus, hilang selama-lamanya,” kata Maselli, 58 tahun. – AFP