MADRID, 30 Nov – Pengendali Real Madrid, Santiago Solari berkata ia merupakan ‘keputusan taktik sukan, tidak ada agenda lain’ mengenai keputusannya untuk mengenepikan Isco dalam kesebelasan utama Real.
Jika Isco cedera, ketiadaannya daripada bangku simpanan dalam kemenangan Real ke atas Roma pada saingan Liga Juara-Juara awal Rabu lalu mungkin dapat diterima, tetapi taktik Solari seperti menunjukkan sesuatu yang lebih besar dari itu.
Solari mengenepikan Isco dalam kesebelasan utama sejak lima perlawanan kebelakangan ini dan hanya memasukkannya semasa menentang Real Valladolid, Viktoria Plzen dan Eibar.
Kemudian, di Stadio Olimpico, Isco tidak terlibat sama sekali, sebaliknya menjadi penonton dan tersisih di belakang pemain muda seperti Federico Valverde, 20, Javi Sanchez, 21 dan Dani Ceballos, 22.
Solari telah menurunkan Keylor Navas dan menyisihkan Thibaut Courtois sebagai penjaga gawang tetapi Isco sepertinya pemain Real yang teruk dipinggirkan di bawah pengendali baharu itu.

Isco menjalani pembedahan apendiks menjelang akhir bulan September tetapi telah pulih Oktober lalu.
Dia juga setia terhadap Lopetegui yang menunjukkan kepercayaan terhadapnya semasa menjadi pengurus pasukan Sepanyol, ketika Zinedine Zidane mengabaikannya di Santiago Bernabeu .
“Ini adalah keputusan yang anda buat dalam masa tertentu,” kata Solari.
“Ini adalah keputusan taktik sukan, tidak ada agenda lain. Tidak ada pemain dijamin sebagai pemain utama, atau pengganti dalam sukan bola sepak. Ia terpulang kepada para pemain untuk meningkatkan prestasi mereka 100 peratus agar jurulatih memilih mereka.”
Sementara itu, menurut Marcelo pula “Kita semua dewasa, anda perlu bekerja, saya tidak mengatakan bahawa impak Isco tidak berkesan dan dia harus bekerja keras dan lihat mengapa dia jarang beraksi.” – AFP