KUALA LUMPUR, 29 MAC – Walaupun rindu untuk bermain hoki, pemain kebangsaan Joel van Huizen berhasrat mendengar nasihat pakar perubatan sebelum memutuskan masa depannya.
Pemain berusia 29 tahun itu yang pengsan ketika Maybank mencatat kemenangan 5-1 ke atas TNB Thunderbolts pada perlawanan pembukaan skuad Tigers dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021, dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan kini menunggu laporan penilaian pakar di Institut Jantung Negara.
“Saya okey sekarang, kesihatan saya baik. Buat masa ini saya cuma perlu hadiri janji temu susulan dengan doktor dan tunggu nasihat mereka tentang langkah seterusnya yang perlu saya ambil.
“Buat masa ini doktor nasihatkan agar saya tidak menyertai sebarang acara sukan kompetitif sehingga janji temu susulan yang seterusnya. Kita tengoklah nanti apa doktor kata,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. – Bernama