KUALA LUMPUR, 29 APRIL – Masa semakin suntuk bagi pemain badminton beregu campuran bebas Malaysia Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie untuk melayakkan diri ke temasya Olimpik Tokyo yang bakal berlangsung dalam tempoh tidak sampai tiga bulan lagi.
Peluang mereka ke temasya sukan terbesar dunia itu semakin tipis selepas Terbuka India 2021 yang dijadualkan dari 11 hingga 16 Mei ini di New Delhi, iaitu antara beberapa kejohanan terakhir bagi mengutip mata kelayakan ke Olimpik Tokyo, turut ditunda disebabkan peningkatan kes COVID-19.
Sekalipun begitu, pasangan beregu tersebut kekal optimis dengan sasaran mereka kini terarah kepada Terbuka Malaysia dan Terbuka Singapura dalam misi menempah slot ke Tokyo.
“Kami tidak ada pilihan dan perlu mengumpul mata sebanyak mungkin dalam kedua-dua Terbuka Malaysia dan Singapura.
“Untuk layak ke Olimpik Tokyo, paling tidak kami perlu menang hingga ke separuh akhir, kalaupun tidak ke final,” kata Shevon ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Terbuka Malaysia dijadualkan dari 25 hingga 30 Mei manakala Terbuka Singapura pula akan berlangsung dari 1 hingga 6 Jun. – Bernama