Tuesday, April 22, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masakan Indonesia miliki keunikan tersendiri

    Oleh Nurdiyanah R.

    Indonesia sememangnya terkenal sebagai sebuah negara yang memiliki pelbagai suku, budaya hingga tradisi yang sememangnya begitu unik jika diterokai.

    Begitu juga dengan dunia kulinari Indonesia dilihat begitu beraneka serta memiliki keistimewaan dan keunikan yang tersendiri.

    “Seperti negara-negara lain, Indonesia turut memiliki pelbagai hidangan menarik yang sememangnya mampu menarik mata masyarakat luar bahawa inilah makanan ikonik yang dimiliki oleh masyarakat negara kami secara umumnya,” jelas Wida selaku salah seorang wakil Kedutaan Besar Republik Indonesia di Negara Brunei Darussalam semasa ditemui penulis ketika berlangsungnya Pesta Makanan Amal Antarabangsa Tahun 2019 di Aman Lounge, Peak Performance Sdn Bhd, baru-baru ini.

    Uniknya sate ayam

    Salah satu makanan khas Indonesia yang diketengahkan ialah sate ayam. Dalam pada itu, isi ayam sebagai bahan asas hidangan ini perlu diperap terlebih dahulu semalaman bersama adunan kicap manis dan rempah-ratus asli Indonesia. Hal ini amat penting agar adunan-adunan tersebut sebati pada isi ayam tersebut sehingga mampu mewujudkan aroma dan cita rasa yang unik.

    Dengan menggunakan teknik memasak secara panggang pastinya memerlukan seseorang yang memiliki kemahiran tinggi demi menghasilkan sate ayam yang enak dan gurih serta empuk apabila dinikmati.

    Wakil Kedutaan Besar Republik Indonesia di Negara Brunei Darussalam begitu teruja mengetengahkan beberapa kulinari Indonesia yang pastinya memiliki keistimewaan dan keunikan yang tersendiri.
    Salah satu makanan khas Indonesia yang diketengahkan ialah sate ayam yang mana isi ayam diperap terlebih dahulu semalaman bersama adunan kicap manis dan rempah-ratus asli Indonesia.
    Uniknya sejenis dimsum ala cita rasa Indonesia yang diperbuat daripada makanan laut iaitu ikan dikenali dengan nama siew mai dinikmati bersama sos kacang dengan adanya gabungan rasa pedas dari cili padi serta percikan jus limau kasturi untuk menambah kelazatannya lagi.
    Es Teler iaitu sejenis koktel buah-buahan segar yang menjadi salah satu hidangan pencuci mulut khas Indonesia yang begitu enak.

    Enaknya siomay bersama sos kacang

    Manakala siew mai juga merupakan salah satu hidangan ringan yang dimiliki oleh masyarakat Indonesia.

    Hidangan dimsum cita rasa Indonesia ini diperbuat daripada makanan laut iaitu ikan yang mana dimasak secara kukus dan disebut siomay oleh warga Indonesia.

    Apa yang menarik, siew mai ini dinikmati bersama sos kacang yang pastinya mampu memikat seseorang yang mencubanya, lebih-lebih lagi dengan adanya gabungan rasa pedas dari cili padi serta percikan jus limau kasturi untuk menambah kelazatannya lagi.

    Es Teler koktel buah istimewa

    Selain itu, salah satu hidangan pencuci mulut khas Indonesia yang begitu enak adalah Es Teler.

    Hidangan sejenis koktel buah pastinya terdiri daripada potongan buah-buahan segar antaranya bah avokado, isi kelapa, cincau, buah nangka dan pelbagai jenis buah-buahan tempatan lain.

    Lebih menyelerakan lagi, potongan buah-buahan tersebut disajikan bersama limpahan air santan kelapa dan susu pekat manis, gula, dan sedikit garam agar terasa lemak dan manisnya.

    Daun pandan juga menjadi pelengkap bahan dalam hidangan itu untuk meningkatkan aroma yang bakal menawan selera penggemarnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda