Oleh Nurdiyanah R.
Setiap negara di dunia pasti memiliki keunikan tersendiri dalam hal kulinari.
Meskipun Malaysia merupakan salah sebuah negara jiran yang serumpun dengan negara kita dan hampir memiliki cita rasa yang sama khususnya dalam mendominasi masakan Melayu, namun hakikatnya ia memiliki hidangan khasnya sekali gus melambangkan kebudayaan negara berkenaan di mata masyarakat luar negara.
“Inilah antara hidangan istimewa berkonsepkan tradisional Melayu sebagai warisan nenek moyang yang pastinya memiliki keistimewaan yang begitu unik untuk diterokai bersama-sama agar ia tidak pupus ditelan zaman,” kata salah seorang wakil dari Persatuan Wanita Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Rosita binti Ismail, yang juga isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam ketika ditemui penulis semasa berlangsungnya Pesta Makanan Amal Antarabangsa Tahun 2019 di Aman Lounge, Peak Performance Sdn Bhd, baru-baru ini.
Nasi lemak lambang makanan kebangsaan Malaysia
Jika bunga raya menjadi bunga kebangsaan Malaysia, nasi lemak pula seharusnya dilabel sebagai makanan kebangsaan negara ini.
Hidangan tradisional yang dikenali dengan nama Nasi Lemak Ayam Goreng Berempah itu semakin menyelerakan apabila disediakan bersama set yang lengkap.




Dengan kelazatan nasi yang dimasak dengan air santan kelapa asli dengan aroma dari hirisan daun pandan itu diwarnai lagi dengan adanya kepedasan rasa sambal yang berasaskan bahan-bahan utama seperti bawang merah dan bawang putih, cili kering dan juga ikan bilis itu mampu mewujudkan setiap suapan itu terasa begitu nikmat sekali sehingga ke suapan terakhir.
Di samping itu, kelazatannya juga semakin terserlah dengan adanya taburan kacang tanah goreng dan telur serta hirisan ulam timun.
Keistimewaan rojak buah
Selain itu, negara Malaysia juga mempunyai hidangan salad tradisional yang dikenali sebagai rojak buah. Memiliki gabungan rasa manis, masam dan pedas itu sememangnya mampu menaikkan selera khususnya bagi para penggemar rojak.
Lazimnya, rojak buah mengandungi potongan buah-buahan tempatan seperti timun, mangga, nanas, betik dan sengkuang.
Lebih menariknya, kuah rojak pula diperbuat daripada otak udang kicap manis, air gula merah dan gula pasir serta sedikit belacan.
Selain itu, kacang tanah yang dikisar juga ditaburkan atas permukaan adunan potongan buah dan kuah yang dicampur agar menambahkan lagi kehebatan rasanya.
Kepekatan Laksa Penang
Laksa Penang juga merupakan salah satu makanan tradisional yang mana popular di Pulau Pinang, Malaysia di mana ia berasal. Ia juga dikenali dengan nama asam laksa.
Sejenis makanan berkuah yang mengandungi bahan-bahan dari mi laksa dan potongan timun, telur rebus, hirisan bawang merah dan cili padi serta limau kasturi. Kuahnya yang berasaskan daripada ikan segar seperti ikan sardin itu sememangnya begitu enak dinikmati ketika masih panas, lebih-lebih lagi dengan adanya gabungan rasa masam manis mampu menaikkan selera para penggemarnya.