Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Masakan rumah’ beri balu perang Iraq nafas baharu

    MOSUL, IRAQ – Abir Jassem sedang sibuk menyediakan sayur sumbat di sebuah dapur di Mosul, Iraq, di mana selepas pergolakan selama bertahun-tahun, perkhidmatan katering yang dikendalikan oleh wanita telah membantu ibu tunggal seperti beliau mencapai kestabilan kewangan.

    Wanita berusia 37 tahun itu, yang kehilangan suaminya ketika bandar itu berada di bawah kawalan kumpulan Islamic State (IS), berkata beliau terpaksa mencari pekerjaan untuk menyara hidupnya dan anak-anaknya.

    “Jika saya tidak bekerja, kami tidak akan mempunyai apa-apa untuk dimakan,” kata Abir.

    Kini beliau merupakan salah seorang daripada kira-kira 30 pekerja di ‘Taste of Mosul’, yang menyajikan makanan tempatan dan diasaskan pada 2017 selepas metropolis utara Iraq itu dibebaskan daripada pejuang IS.

    Kebanyakan pekerja – termasuk tukang masak serta dua wanita penghantar adalah balu atau orang yang bercerai hidup.

    Abir menyediakan makanan di dalam dapur perkhidmatan katering yang dikendalikan wanita, ‘Taste of Mosul’, di Mosul, utara Iraq pada 13 September. – Gambar AFP
    Salah seorang daripada kira-kira 30 pekerja di ‘Taste of Mosul’, utara Iraq sedang menyediakan makanan, baru-baru ini. – Gambar AFP

    Penduduk Mosul semuanya terjejas akibat pemerintahan kejam IS dan perang untuk mengalahkannya, tetapi bagi wanita dalam masyarakat Iraq yang sebahagian besarnya konservatif dan berpatriarki, cabaran itu sering kali lebih rumit.

    Bagi Abir, yang kematian suaminya akibat hepatitis, perniagaan katering ini telah menawarkan jalan keluar.

    Keluarga beliau enggan membenarkannya bekerja di mana-mana ruang yang bercampur lelaki dengan perempuan, “Tetapi saya mahu bekerja supaya saya tidak perlu bergantung kepada sesiapa,” katanya.

    Kini beliau memperoleh AS$11 sehari dengan memasak makanan yang kemudiannya dihantar kepada pelanggan.

    Keistimewaannya ialah kibbeh ala Mosul, sejenis hidangan daging cincang.

    “Baik orang Syria mahupun Lubnan tidak mampu membuat beberapa resipi yang terkenal di bandarnya di Iraq,” kata Abir, sementara beberapa wanita lain yang duduk di sebelahnya di meja biru besar sedang menyediakan menu hari itu.

    Seorang tukang masak menggulung daun anggur. Seorang lagi menyumbat dengan banyak nasi berwarna oren ke dalam lada yang berlubang, dan yang ketiga menggoreng daging.

    Wanita kuat

    Menurut laporan Julai 2022 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa, hanya lebih sedikit daripada 10 peratus daripada 13 juta tenaga kerja wanita Iraq berada dalam pasaran pekerjaan.

    Apabila perang di Mosul berakhir pada musim panas 2017, Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) menganggarkan bilangan ‘balu perang’ dalam ribuan.

    “Suami mereka selalunya merupakan pencari nafkah tunggal keluarga,” kata agensi PBB itu.

    “Tanpa pendapatan dan selalunya mempunyai anak-anak untuk ditanggung, balu perang Mosul adalah antara golongan yang paling terdedah kepada kehilangan tempat tinggal semasa pergolakan berbulan-bulan di bandar yang dahulunya berkembang maju.”

    Mahiya Youssef, 58, memulakan ‘Taste of Mosul’ untuk membolehkan wanita memasuki pasaran tenaga kerja di bandar yang penuh dengan kemusnahan ini.

    “Kita harus realistik,” katanya. “Jika orang yang mempunyai ijazah universiti pun menganggur, saya tertanya-tanya apakah jenis pekerjaan yang akan membolehkan mereka menampung keperluan anak-anak mereka dan menjadi wanita yang kuat.”

    Ditubuhkan dengan hanya dua orang tukang masak, inisiatif itu telah berkembang dan kini turut menyediakan pekerjaan untuk graduan muda, kata Mahiya, seorang ibu kepada lima anak.

    Pembuka selera dan hidangan utama di dalam menu dijual dengan harga sekitar AS$1 hingga AS$10, dan keuntungan bulanan melebihi AS$3,000, menurut Mahiya, yang merancang untuk mengembangkan perniagaannya.

    Katanya, beliau berharap untuk membuka sebuah restoran atau membuat projek serupa di bahagian lain di Iraq.

    Rasa unik

    Mahiya berkata minatnya ialah ‘resipi lama yang tidak dibuat oleh restoran’, seperti hindiya, sejenis rebusan zukini pedas dengan kibbeh, atau ouroug, bebola goreng daripada tepung, daging dan sayur-sayuran.

    Salah seorang pekerjanya, Makarem Abdel Rahman, kehilangan suaminya pada 2004 apabila beliau diculik oleh militan Al-Qaeda.

    Ibu kepada dua anak, kini berusia 50an, menghantar makanan di dalam keretanya, yang menurutnya telah mendapat beberapa kritikan.

    “Anak-anak saya menyokong saya, tetapi sesetengah saudara-mara menentang” beliau bekerja, katanya.

    Tetapi Makarem tidak membiarkan itu menghalangnya, dan berkata beliau telah menganggap ‘Taste of Mosul’ sebagai ‘rumah kedua’.

    Banyak pelanggan membuat pesanan berulang kali dan ada yang menjadi pelanggan setia.
    Selama lebih dari dua tahun, Taha Ghanem telah memesan makan tengah harinya dari ‘Taste of Mosul’ dua atau tiga kali seminggu.

    “Disebabkan kerja kami, kami jauh dari rumah,” kata pemilik kafe berusia 28 tahun itu.

    “Kadangkala kami merindui masakan rumah kami, tetapi kami mempunyai perkhidmatan ini,” katanya sambil memuji ‘rasa unik’ masakan Mosul. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda