KUCHING, 9 JUN – Festival Gastronomi Sarawak 2024 Edisi Hari Malaysia akan diadakan di Kampung Budaya Sarawak di Santubong, pada 13 hingga 15 September depan.
Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata festival anjuran Persatuan Gastronomi Sarawak itu adalah bagi meraikan warisan masakan negara yang kaya dan pelbagai, sekali gus mempamerkan semangat perpaduan negara.
“Konsep festival ‘Dari Ladang ke Meja’ ini menekankan kelestarian dan menyokong petani tempatan dengan mengetengahkan perjalanan hasil tempatan ke pinggan anda,” katanya pada sidang media mengumumkan acara itu di Kampung Budaya Sarawak, Santubong hari ini.
Selain konsep ‘Dari Ladang ke Meja’, beliau berkata festival itu juga menampilkan pengalaman santapan moden yang menggabungkan rasa tradisional dengan teknik kontemporari dan menawarkan perjalanan gastronomi yang unik.
“Inisiatif ini sejajar dengan pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Gastronomi Kreatif UNESCO, yang diisyhtiharkan pada 2021, menggariskan warisan makanan kami yang kaya dan meletakkan kami sebagai destinasi masakan global,” katanya.
Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata tahun ini merupakan edisi kedua acara itu diadakan dan akan menyaksikan chef dari semua latar belakang mempamerkan kemahiran dan kreativiti mereka untuk menyediakan hidangan lazat mewakili masakan terbaik Malaysia. – Bernama