LONDON, 30 Sept – Nombor telefon dan butiran peribadi lain menteri kanan dari Parti Konservatif terdedah kepada orang awam susulan masalah keselamatan aplikasi semalam, termasuk Michael Gove dan Boris Johnson.
Beberapa ahli Parlimen dilaporkan menerima panggilan mengganggu selepas profil mereka boleh dimasuki pada aplikasi telefon rasmi bagi sidang kemuncak tahunan parti, yang bermula hujung minggu ini.
Pencabulan keselamatan itu telah menyaksikan orang awam boleh memasuki profil ahli politik dengan menggunakan e-mel mereka, yang mudah diperoleh atas talian, untuk melihat dan mengedit data di dalamnya.
Sementara itu gambar profil bekas Menteri Luar, Johnson telah ditukar dengan gambar tidak senonoh dan pekerjaannya ditukar kepada berunsur penghinaan, menurut beberapa pengguna Twitter.
Manakala gambar Menteri Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar, Gove ditukar kepada hartawan media, Rupert Murdoch, bekas majikannya ketika beliau menjadi wartawan.
Antara yang pertama melaporkan masalah itu ialah kolumnis akhbar The Guardian, Dawn Foster.
“Aplikasi persidangan Tory membolehkan anda mendaftar masuk sebagai orang lain dan melihat butiran perhubungan cuma dengan alamat e-mel, tiada pautan keselamatan e-mel dan komen sebagai mereka,” katanya dalam satu kenyataan di Twitter.
“Mereka menjadikan nombor telefon wartawan, ahli politik dan mereka yang hadir terdedah kepada umum.”
Jurucakap parti konservatif memohon maaf atas pelanggaran itu, dengan mengatakan isu teknikal tersebut telah ‘diselesaikan dan aplikasi itu kini berfungsi dengan selamat’. – AFP