Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masalah bekalan air selesai

    LUNDU, 29 April – Para penduduk di kampung Sempadi, kira-kira 20km dari sini, kini boleh melihat masa hadapan dengan penuh harapan yang pasti, untuk mendapatkan sumber bekalan air bersih menerusi pelaksanaan projek Pembangunan Telaga Tiub yang dilengkapi dengan Sistem Penapisan Air Tanah Ringkas (SPATR).

    Perasmian projek yang dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar itu disempurnakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Wan Junaidi berkata Projek SPATR yang bernilai RM600,000 itu melibatkan pembinaan telaga tiub, sistem penapisan dan juga pemasangan paip serta pili-pili air yang boleh menampung keperluan seharian untuk seluruh penduduk kampung itu yang berjumlah sekitar 500 orang.

    “Kerajaan sememangnya prihatin dengan masalah penduduk di sini. Awal tahun ini, Jabatan Mineral dan Geosains telah menjalankan penyiasatan (sekitar sini) bagi mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan projek ini,” katanya semasa berucap di majlis pelancaran projek itu di Kampung Sempadi, yang terletak kira-kira 55km dari bandar raya Kuching.

    “Antara faktor yang diambil kira adalah keporosan batuan, punca air dan faktor-faktor geologi yang lain kerana ia akan mempengaruhi jangka hayat telaga tiub. Selain itu dengan mengambil kira kadar pertumbuhan penduduk yang agak pesat serta keperluan air yang semakin meningkat, kampung ini dilihat cukup sesuai untuk dibangunkan dengan sistem telaga tiub ini,” tambahnya.

    Wan Junaidi berkata dalam tempoh antara 2006 dan 2017, kerajaan telah membina 90 telaga tiub yang menelan belanja kira-kira RM18.72 juta di kampung-kampung pedalaman, rumah-rumah panjang dan sekolah di seluruh negeri.

    Beliau berkata projek pembinaan Telaga Tiub di kampung Sempadi yang dijangka siap dalam tempoh dua atau tiga tahun ini merupakan satu daripada usaha gigih kerajaan untuk menyelesaikan masalah penduduk setempat mendapatkan bekalan air yang bersih secara berterusan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda