Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN – Perniagaan Internet atau e-dagang merupakan salah satu aktiviti perniagaan yang menggunakan teknologi yang canggih dengan membuat urusan jual beli antara peniaga dengan pengguna melalui internet.
Aktiviti perniagaan internet pada masa ini semakin terkenal dan mendapat sambutan sejajar dengan kemajuan pembangunan dan ekonomi di peringkat globalisasi.
Perniagaan dalam internet bukan sahaja untuk syarikat-syarikat besar, tetapi juga untuk syarikat kecil, walaupun mereka mempunyai pekerjaan tetap, mereka juga boleh menjalankan perniagaan ini bagi memperoleh pendapatan sampingan.
Hal ini menunjukkan bahawa perniagaan internet semakin mendapat sambutan hangat dan memberikan kebaikan kepada peniaga dan pengguna. Walau bagaimanapun, perniagaan Internet juga mempunyai kelemahannya yang tersendiri.
Walaupun melihat kepada sambutan yang baik itu, peniaga online sering berhadapan dengan beberapa isu yang boleh menggugat produk jualan mereka.


Salah satunya ialah isu yang baru sahaja tular di media sosial yang menyatakan, sebahagian pembeli kurang memahami kos yang ditanggung untuk mendatangkan sesuatu produk dari luar negara.
Temu bual media bersama beberapa orang peniaga online yang rata-rata melahirkan kekecewaan apabila adanya pembeli yang membuat perbandingan dengan peniaga online yang lain mengenai harga yang ditawarkan.
Salah seorang peniaga online, Dayang Hamidah yang sudah melibatkan diri dalam bidang ini sejak tahun 2010 sudah ‘masak’ berhadapan dengan kerenah pembeli yang mahu membeli produk mereka dengan menyatakan ‘book sis’ tetapi bila tiba waktu pembayaran, mereka hilang tanpa dikesan.
Namun demikian, beliau tetap bertahan sehingga kini walaupun ada kalanya terpaksa menanggung kerugian daripada kalangan pembeli yang tidak bertanggungjawab.
“Bukan setakat berhadapan dengan pembeli yang hilang tanpa dikesan, tetapi terdapat juga pembeli yang meminta mengurangkan lagi harga sedangkan keuntungan yang kami dapat hanya cukup makan sahaja selepas ditolak daripada kos mendatangkan produk berkenaan.
“Tambahan lagi dengan kerenah pembeli yang membatalkan pembelian barangan yang dipesan sedangkan barangan tersebut sudah pun dihantar oleh pembekal dari luar negara.”
Hamidah mengatakan beliau terpaksa akur dengan masalah itu dan berusaha mencari cara lain supaya barangan yang sudah dipesan dapat diserahkan kepada pembeli.
“Bila berhadapan dengan perkara ini, kami terpaksa menjual semula barangan tersebut dan ia bukan satu perkara yang mudah seperti goreng pisang kerana kami terpaksa mempromosi barangan itu semula dan ini juga belum tentu ada pembelinya,” jelasnya.
Peniaga online juga menawarkan perkhidmatan berjumpa di satu tempat atau meet point (MP), penghantaran dan juga self pickup bagi menjadikan perniagaan tersebut lebih berkesan, mudah dan berkualiti kepada para pembeli.
Menurutnya, dengan adanya perkhidmatan seumpamanya, ia akan dapat memudahkan para pembeli untuk mendapatkan barangan yang mereka pesan dengan cepat, tetapi jelasnya ada juga pembeli yang tidak mengendahkan perkara itu.
“Walaupun sudah ‘masak’ dengan kerenah pembeli, tetapi sebagai penjual, mereka juga perlu adanya sifat jujur dalam mempromosi barangan atau produk tersebut, jangan hanya memikirkan untuk mendapatkan keuntungan daripada pembeli sahaja,” tambahnya.