NEW YORK, 8 SEPT – Pemain remaja dari Sepanyol, Carlos Alcaraz, pemain termuda di peringkat suku akhir Terbuka AS dalam tempoh 58 tahun, terpaksa menarik diri dari perlawanan semalam di Terbuka AS selepas mengalami kecederaan.
Pemain kelahiran Kanada, Felix Auger-Aliassime mendahului perlawanan, 6-3, 3-1 apabila pemain berusia 18 tahun, Alcaraz, menarik diri daripada perlawanan, memberikan seterunya yang berusia 21 tahun untuk mara ke pusingan separuh akhir Grand Slam kali pertama menentang pemain pilihan kedua dari Rusia, Daniil Medvedev.
“Sangat sukar untuk menamatkan kejohanan hebat seperti ini,” kata Alcaraz. “Saya tidak mempunyai pilihan untuk meneruskan permainan. Saya perlu menjaga tubuh badan saya dan terus sihat. Saya tidak berasa sihat untuk meneruskan perlawanan.”
Pemain ranking dunia ke-55, Alcaraz, yang menyingkirkan pemain ranking ketiga, Stefanos Tsitsipas dari Greece dalam pusingan ketiga, berpeluang menjadi pemain termuda saingan peringkat separuh akhir Terbuka AS kategori lelaki sejak 1960 dan paling muda dalam mana-mana Grand Slam sejak pemain berusia 17 tahun, Michael Chang memenangi Terbuka Perancis pada 1989.
Dia juga berpeluang untuk menjadi pemain lelaki pertama untuk mara ke peringkat separuh akhir Terbuka AS sejak membuat penampilan sulung selepas Eric Strugess pada 1948. Masalah kecederaan kembali berulang selepas lima set perlawanan berturut-turut.
“Sebelum perlawanan saya dapat rasakannya,” katanya. “Saya mula bermain dengan mengawal kesakitan. Pada permulaan set kedua kecederaan menjadi semakin sakit.”
Alcaraz merupakan pemain termuda di Terbuka AS peringkat suku akhir sejak 1963 dan berjaya mara ke peringkat lebih jauh di Grand Slam.
“Perlawanan seperti ini memberikan saya banyak pengalaman. Kejohanan yang sangat bermakna bagi saya,” kata Alcaraz. “Saya bermain dengan cukup hebat. Saya sangat gembira bermain di peringkat suku akhir. Kejohanan ini menjadikan saya boleh melompat jauh dalam mana-mana kejohanan.”- AFP
