Persiapan konsert 70 peratus siap dilakukan namun penyanyi dan komposer, Hael Husaini terpaksa membatalkannya disebabkan masalah kesihatan.
Bagaimanapun, hingga hari ini setiap persoalan masih belum terjawab apabila empunya diri hanya mendiamkan diri.
Masalah kesihatan Hael atau nama sebenarnya, Hal Husaini Razmi juga dikaitkan dengan penampilannya persis bintang K-Pop sehingga ada yang mendakwanya menggunakan teknologi moden demi mendapatkan bentuk wajah dan kulit putih melepak seperti ‘oppa’.
Konsert Hael Husaini Live In KL sepatutnya berlangsung pada 4 Disember tahun lalu ditunda kepada 19 Februari lalu.
Namun, konsert yang sepatutnya di Zepp Kuala Lumpur itu akhirnya dibatalkan.
Hael berkata, konsert ditunda atas beberapa masalah yang mana syarikat pengurusan, Rocketfuel Entertainment sudah jelaskan.
“Secara jujurnya, ini adalah keputusan yang diputuskan saya bersama syarikat pengurusan. Mereka membenarkan saya berehat dan tidak terbabit dalam apa-apa konsert agar tidak menjejaskan masalah kesihatan dalam tempoh yang lama.
“Insya-Allah, saya mengharapkan konsert akan dapat direalisasikan, tahun ini. Bohonglah jika saya tidak kecewa memandangkan kerana ini adalah konsert pertama selepas 15 tahun bergelar penyanyi.
“Saya sangat teruja, malah 70 peratus persiapan sudah dilakukan, tetapi saya tidak boleh menyalahkan sesiapa dan anggap bukan rezeki bila berdepan masalah kesihatan,” katanya kepada BH Online.
Hael yang ditemui pada sidang media memperkenalkan Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS), baru-baru ini.
Mengulas adakah faktor kesihatan atau tiket tidak terjual, penyanyi lagu Jampi dan Haram itu menafikannya.
“Suatu hari saya yakin pasti konsert solo saya akan diadakan sebab saya mempunyai impian tinggi, jadi biarlah perlahan-lahan saya bina konsert dan cuba melakukan yang terbaik,” katanya. – Agensi
