Bintang K-Pop yang mencetuskan fenomena, Lee Min Ho, 38, menafikan gosip bercinta dan berkahwin dengan anggota Kumpulan 2NE1, Park Bom.
Memetik laporan BH Online, spekulasi timbul selepas Bom memuat naik hantaran mendakwa jejaka tinggi lampai itu adalah suaminya, sekali gus mencetuskan tanda tanya peminat.
Bagaimanapun, agensi Min Ho, MYM Entertainment menafikan dakwaan Bom itu.
“Lee Min Ho tiada hubungan peribadi dengan Bom, jadi khabar angin ini tidak berasas,” kata agensi.
Laporan agensi menyebut, Min Ho sedang sibuk mempromosikan drama terbaharu, When the Stars Gossip.

Dalam pada itu, Bom memuat naik kenyataan mengesahkan dirinya masih bujang dan belum berkahwin.
Bom memberitahu, Min Ho memintanya berbuat demikian untuk menjernihkan keadaan selepas berlaku kekecohan.
“Hello, orang yang saya sayangi. Ini Park Bom. Sejujurnya, saya masih keseorangan.
“Saya memberitahu perkara ini kerana disuruh Lee Min Ho. Saya ingin menjelaskan saya masih bujang,” jelasnya.
Park Bom muat naik beberapa hantaran mendakwa Lee Min Ho adalah suaminya.
Spekulasi bertebaran apabila Bom, 40, memuat naik gambar Min Ho dalam media sosial pada September, tahun lalu. Pada hantaran itu, Bom merujuk aktor terbabit sebagai ‘suamiku’.
Bom mengulangi dakwaan itu melalui akaun kedua dengan menulis ‘Dia memang suamiku’ dan turut memuat naik gambar Min Ho.
Penyanyi itu kemudian memadamkan hantaran, namun, bertegas bahawa khabar angin itu adalah benar. – Agensi