KUALA LUMPUR, 30 Jun – Ramai yang beranggapan masalah kesihatan mental hanya merujuk kepada gila, hakikatnya kemurungan, depresi dan gangguan emosi juga merupakan antara penyakit mental yang boleh memudaratkan.
Pakar Psikologi Dr Adrian Lim berkata masalah kesihatan mental diibaratkan sebagai ‘pembunuh dalam diam’ dan perlu diberi rawatan segera terutamanya dalam kalangan anak muda.
“Kekangan kewangan, berdepan dengan masalah keluarga dan kerjaya merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan mental…masalah ini tidak boleh dipandang remeh dan perlu ditangani secara segera, memandangkan anak muda merupakan generasi pelapis negara.
“Rata-rata pesakit yang mendapatkan nasihat saya, baharu sahaja memulakan kerjaya tetapi apabila mereka gagal untuk mencapai matlamat, persepsi keluarga dan masyarakat terhadap mereka mula berubah hingga menyebabkan mereka rasa tertekan dan tidak berguna,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Tambahnya keadaan ini berbeza dengan apa yang berlaku lebih sedekad lalu, yang mana keluarga lebih memahami anak-anak dan mereka tidak terlalu memberi tekanan kepada anak muda, meskipun mereka gagal dalam kerjaya. – Bernama