SELALUNYA apabila berbual dengan warga emas, kita terpaksa bercakap dengan suara yang agak kuat. Mungkin juga diingatkan untuk menyebut perkataan satu persatu dengan jelas supaya mereka memahami apa yang cuba kita sampaikan.
Masalah pendengaran dalam kalangan warga emas adalah satu perkara biasa. Walaupun ia tidak membabitkan nyawa, tetapi kekurangan pendengaran ini boleh menjejaskan kehidupan insan yang banyak jasanya itu. Ramai juga yang enggan bersosial kerana berasa rendah diri dengan masalah pendengaran yang dialami.
Ada juga warga emas yang tidak menganggapnya sebagai satu gangguan dan menyebabkan masalah ini dipandang remeh walaupun hakikatnya ia boleh mengundang pelbagai risiko dalam kehidupan.
Masalah pendengaran yang dianggap sebagai masalah biasa ini membelenggu kehidupan lebih sejuta warga emas di Malaysia yang dikesan mengalaminya pada pelbagai tahap.
Pendengaran yang kurang jelas akan menjejaskan kualiti kehidupan seseorang. Oleh itu, ia perlu diberi perhatian sewajarnya. Dalam hal ini, anak perlu lebih peka dengan perubahan yang dialami ibu bapa.



Dianggarkan lebih sejuta daripada 3.8 juta warga emas di Malaysia mengalami masalah pendengaran dan ia disebabkan faktor penuaan.
Perunding Pembedahan Telinga, Hidung, Kerongkong, Kepala dan Leher, Dr Syahmi Omar berkata, masalah pendengaran boleh berlaku kerana proses peningkatan usia atau penuaan dengan gaya hidup tidak sihat serta sering terdedah bunyi bising.
“Apabila semakin tua, pastinya berlaku perubahan secara menyeluruh pada fungsi tubuh dan bahagian dalaman telinga apabila koklea dan saraf auditori semakin lemah.
“Selain itu, cara otak memproses bunyi atau kombinasi kedua-duanya boleh menyebabkan warga emas sukar memahami pertuturan,” katanya.
Dr Syahmi berkata, perkara ini tidak boleh dibiarkan dan penggunaan alat bantu pendengaran adalah satu kaedah yang mampu menangani masalah itu.
“Alat bantu pendengaran boleh membantu pesakit tanpa mengira usia walaupun kebanyakan masalah pendengaran adalah berkaitan peningkatan usia.
“Teknologi alat bantu pendengaran semakin berkembang pesat dengan kualiti bunyi yang diperbaiki untuk memberikan keselesaan kepada pesakit,” katanya.
Tambahnya, selain penuaan, pendedahan kepada bunyi bising juga boleh membawa kepada masalah pendengaran.
“Individu yang bekerja dalam persekitaran bising juga lebih berisiko mengalami masalah pendengaran dan golongan muda yang sering mendengar muzik kuat juga berisiko untuk mendapat masalah sama. Pengambilan-pengambilan ubat tertentu juga boleh mempengaruhi pendengaran,” katanya.
Kesedaran diri
Dr Syahmi berkata, atas pelbagai faktor, warga emas juga individu yang mengalami masalah pendengaran disaran mendapatkan bantuan pendengaran demi kesejahteraan dan keselesaan hidup.
“Sekiranya ia berlaku kepada ibu bapa yang sudah berusia, si anak perlu bertanggungjawab membantu mendapatkan penyelesaian masalah ini.
“Jangan biarkan ibu bapa yang sudah berusia terus hidup dalam dunia agak ‘sunyi’ kerana ia menjejaskan rutin harian mereka,” katanya.
Tambah Dr Syahmi, langkah terbaik adalah membawa ibu atau bapa yang mengalami masalah pendengaran bertemu pakar.
“Alat bantu pendengaran dipilih berdasarkan tahap masalah pendengaran setiap individu. Ini sebabnya saringan awal perlu dilakukan bagi mengesan tahap masalah itu.
“Memasang alat bantu pendengaran yang salah boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk. Jadi, anda perlu menjalani ujian pendengaran dan mendapatkan khidmat pemasangan alat bantu daripada individu yang bertauliah,” katanya.