SINGAPURA, 25 Okt – Pemain nombor empat dunia Naomi Osaka berharap dapat mengatasi masalah servisnya selepas tewas kepada Angelique Kerber, sekali gus meletakkan kedudukannya hampir tersingkir daripada pusingan seterusnya di Final WTA, semalam.
Juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) itu tewas kepada pemain pilihan utama, Kerber 6-4, 5-7, 6-4 dalam masa dua jam 30 minit dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura.
Osaka yang belum memperoleh kemenangan, masih mempunyai peluang untuk layak ke separuh akhir tetapi perlu mengatasi pilihan kelapan Kiki Bertens dalam aksi round-robin esok dan bergantung juga kepada keputusan perlawanan lain dalam Kumpulan Merah untuk mara.
Osaka menghadapi masalah servis sepanjang perlawanan menentang Kerber dan mempunyai kadar 50 peratus servis pada perlawanan itu, yang menurun kepada 44 peratus semasa pusingan penentuan.
Bintang meningkat naik dari Jepun itu mengakui kelemahan servisnya itu.

“Saya rasa perlawanan ini kesinambungan daripada perlawanan sebelum ini iaitu servis tidak bagus,” katanya kepada wartawan.
“Saya tidak pasti kenapa ia terjadi dan untuk itu, saya perlu gigih berlatih.
“Namun saya tetap bangga kerana tidak mudah menyerah kalah tanpa servis pertama.”
Selepas menang di set kedua, Osaka tampak mempunyai momentum di set ketiga tetapi pengalaman Kerber jelas menjadi pemisah perlawanan itu.
“Saya rasa di set ketiga saya mula teragak-agak seperti jika saya hantar bola ke garisan dia mampu mengambilnya dan kemudian dia akan memukul bola yang sukar saya balas,” katanya.
Pemain berusia 21 tahun itu memegang hamstring kirinya beberapa kali tetapi berkata dia akan meneruskan kejohanan itu.
“Ia tidak terasa baik. Ia bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan, saya fikir,” katanya.
“Kejohanan ini adalah yang terakhir tahun ini, jadi sudah tentu saya akan meneruskan aksi saya.” – AFP