LONDON, 1 JAN – Britian telah melalui 12 bulan yang sukar dan masalah-masalah tersebut tidak akan ‘pergi’ pada tahun 2023, namun pertabalan Raja Charles III akan membantu negara, kata Perdana Menteri United Kingdom (UK), Rishi Sunak baru-baru ini.
Sunak, yang menjadi Perdana Menteri ketiga dari Parti Konservatif pada bulan Oktober lalu, berkata UK melalui tahun yang sukar oleh impak ekonomi yang ekstrem yang telah disebabkan oleh perang Rusia di Ukraine.
Beliau berkata kerajaannya telah mengambil ‘keputusan adil yang sukar untuk mengawal pinjaman dan hutang’ serta telah membantu rakyat Britain menghadapi krisis hidup yang didorong oleh kenaikan mendadak kos bahan api.
Sunak tidak menyebut mengenai kekacauan politik di UK pada tahun lepas, yang menyaksikan bekas Perdana Menteri, Boris Johnson berhenti pada bulan Julai selepas siri skandal dan penggantinya, Liz Truss yang meletak jawatan selepas kurang daripada dua bulan menjadi Perdana Menteri.
Ekonomi dan politik Britain telah kembali tenang sejak itu, namun Sunak masih perlu menangani ekonomi yang semakin perlahan, mogok pekerja yang semakin berleluasa, dan Parti Konservatif yang berpuak-puak yang semakin kehilangan sokongan popular selepas 12 tahun berkuasa. “Saya tidak akan berlakon seolah-olah semua masalah kita akan pergi begitu sahaja pada tahun baharu,” katanya. – AP