KUALA LUMPUR, 28 JAN – Malaysia mungkin menghantar pasukan simpanan ke Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2025 (BAMTC) di Qingdao, tetapi usah mengharapkan mereka hanya akan ‘menyertai’ pertandingan tersebut tanpa memberikan tentangan hebat.
Ketua jurulatih perseorangan Malaysia, Kenneth Jonassen, menegaskan bahawa pasukan, terutamanya pemainnya, tidak akan sekadar hadir untuk bertanding tetapi akan berusaha meraih kemenangan setiap kali mereka melangkah ke gelanggang sepanjang kejohanan yang akan diadakan dari 11 hingga 16 Februari.
“Saya rasa secara keseluruhan, apabila kita menghantar pasukan, kita pergi dengan tujuan untuk menunjukkan prestasi terbaik. Jika kita menang, bagus, tetapi jika kita kalah, kita akan menilai semula.
“Tetapi kami di sana untuk berusaha menang dalam setiap perlawanan yang disertai dan bukan hanya menganggapnya sebagai proses pembangunan.
“Pembangunan juga melibatkan mencari cara untuk menang, dan saya rasa kita semua bersetuju bahawa itu adalah matlamat kita, mencari cara untuk menang,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan, hari ini.
Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Hong Kong, dan Kazakhstan. Dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan mara ke suku akhir.
Jonassen juga merasakan tugas besar menanti pasukan Malaysia sekiranya Indonesia dan Hong Kong menurunkan pemain perseorangan terbaik mereka di BAMTC 2025.
Namun, jurulatih dari Denmark ini berharap dapat melihat anak-anak didiknya berdepan dengan yang terbaik, sekiranya kedua-dua pasukan tersebut menurunkan pemain teratas mereka.
“Terdapat kelebihan dan kekurangan. Sudah tentu, kelebihannya, jika awda bermain menentang pemain yang benar-benar hebat, awda akan berpeluang menghadapi tahap permainan yang tinggi, namun kekurangannya adalah ia akan menjadi sukar untuk menang. Jika awda bermain dengan lawan yang lebih lemah, maka tekanan akan tiba-tiba beralih kepada awda. Ini adalah peluang penting untuk belajar,” katanya. – Bernama