Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masar: Pintu masuk utama Masjidilharam

    MEKAH – Projek Destinasi Masar di Mekah, pembangunan bandar unggul di bawah Wawasan 2030 Arab Saudi, kini hampir siap dengan lebih 99.7 peratus kerja infrastruktur teras telah diselesaikan.

    Inisiatif transformasi itu dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun 2025.

    Sebagai sebahagian daripada Program Haji kerajaan Arab Saudi, wakil media antarabangsa termasuk dari Malaysia telah diberi taklimat khas serta lawatan selama 30 minit ke tapak projek Masar yang dikendalikan oleh arkitek Amjad Fadol.

    Sesi itu memberi pendedahan mengenai reka bentuk, objektif serta peranan projek itu dalam memberi kemudahan kepada jutaan jemaah setiap tahun.

    Lebih 30 agensi media dari seluruh dunia mengambil bahagian dalam liputan Haji tahun ini, termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Al Hijrah, Astro Awani, Astro Oasis dan Media Prima.

    Projek Destinasi Masar di Mekah, pembangunan bandar unggul di bawah Wawasan 2030 Arab Saudi, kini hampir siap dengan lebih 99.7 peratus kerja infrastruktur teras telah diselesaikan. Inisiatif transformasi itu dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun 2025. – Bernama
    Masar meliputi kawasan 3.5 kilometer, menghubungkan Stesen Kereta Api Berkelajuan Tinggi Haramain dengan Masjidilharam. – Bernama

    Di bawah cuaca panas melebihi 40 darjah Celsius, para wartawan tetap teruja apabila berpeluang menyaksikan Menara Jam ikonik dari kawasan pembinaan projek Masar.

    Masar meliputi kawasan 3.5 kilometer, menghubungkan Stesen Kereta Api Berkelajuan Tinggi Haramain dengan Masjidilharam.

    Apabila siap kelak, ia bakal menjadi pintu masuk utama ke Masjidilharam, menyediakan pengalaman ketibaan yang lebih selamat dan tersusun untuk para jemaah.

    Projek itu bakal menempatkan 41,000 bilik hotel, 9,000 unit kediaman dan 330,000 meter persegi ruang komersial dan runcit.

    Ia juga akan dilengkapi hospital, masjid, kemudahan perniagaan, pusat kebudayaan serta rangkaian pengangkutan awam.

    Elemen utama dalam konsep Masar ialah laluan pejalan kaki mesra pengguna yang dilengkapi laluan teduhan, kawasan rehat serta teknologi pengurusan orang ramai yang inovatif.

    Ciri-ciri ini direka untuk menjamin kelancaran dan ketenangan ibadah, terutamanya semasa musim Haji dan Umrah.

    Pihak berkuasa Arab Saudi menjadikan projek itu sebagai asas strategi kebangsaan untuk mengalu-alukan 30 juta jemaah Umrah setiap tahun menjelang 2030.

    Ia merupakan sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk mempelbagaikan ekonomi, mempromosi pelancongan agama dan memodenkan infrastruktur bandar Mekah.

    Meskipun berskala besar, projek terbabit mengekalkan keutamaan terhadap kesucian serta identiti sejarah Kota Suci dengan menggabungkan elemen seni bina Islam tradisional dan perancangan bandar moden.

    Syarikat Umm Al Qura for Development and Construction ialah pemilik, pemaju dan pengendali utama Projek Destinasi Masar.

    Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, syarikat itu turut memeterai beberapa perkongsian strategik termasuk bersama Al Rajhi United Real Estate bagi pembangunan komponen hospitaliti utama dalam projek ini.

    Para pengunjung ke tapak projek, termasuk rombongan media antarabangsa memuji komitmen kerajaan Arab Saudi dalam merealisasikan pengalaman ibadah yang menggabungkan warisan dan inovasi. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda