Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masdo janji kejutan buat peminat

    Kira-kira 10 tahun mencipta nama dalam industri muzik Malaysia, kumpulan Masdo bakal menghiburkan peminat dalam sebuah konsert yang dijadual berlangsung pada 30 Ogos.

    Namun sebelum tibanya hari bermakna itu, mereka terlebih dahulu akan bersama beberapa rakan artis lain memeriahkan Festival Muzik OOO 2025 di Heritage Valley, Kuala Lumpur pada 1 Julai.

    Bagi Ali selaku vokalis, pentas berkenaan juga dianggap sebagai pemanas badan sekali gus menghangatkan lagi perjalanan kerjaya seni mereka.

    “Kami anggap ini merupakan acara ‘panas badan’ sebelum berperang dengan konsert sendiri pada 30 Ogos depan sempena satu dekad penglibatan kami di dalam industri.

    “Ada sesuatu yang menarik akan kami umumkan kepada semua peminat yang hadir,” katanya.

    Bukan sekadar itu, lebih membuat mereka teruja adalah barisan artis lain yang terlibat seperti Noh Salleh, Bunga, Luqman Podolski, Zynakal, Tuju dan Naki.

    Berkongsi pentas bersama penyanyi ini juga merupakan satu penghargaan yang terbaik buat mereka.

    “Sebenarnya, apa yang menarik perhatian kami untuk menyertai festival ini kerana barisan penyanyi yang hebat dan mempunyai pengaruh di dalam industri.

    “Rugi sekiranya kami tidak turut serta untuk bersama-sama dengan mereka menghiburkan peminat,” ujarnya.

    Penyanyi lain yang juga turut membuat persembahan adalah Emptypage, Iman Troye, FUGŌ, Jo Vynn, Priscilla Abby dan Steadygang.

    Sementara itu, Pengarah A&R Warner Music Malaysia, Raqeem Brian, berkata pihaknya sangat teruja untuk menjayakan festival berkenaan bagi menghargai bakat barisan penyanyi yang terlibat

    Brian juga percaya festival yang mengabungkan muzik pop, hip-hop, indie dan rock dalam satu malam pasti tidak akan dilupakan oleh pengunjung.

    “Festival Muzik OOO 2025! bukan sekadar konsert, ia adalah satu sambutan budaya yang menyatukan orang ramai melalui muzik, kreativiti dan inovasi,” jelasnya.

    Festival yang akan berlangsung selama kira-kira lima jam itu bukan hanya menampilkan muzik bertaraf dunia namun turut menyediakan gerai makanan dan minuman serta pameran interaktif jenama-jenama terlibat. – Agensi

    Masdo teruja bertemu peminat di Festival Muzik OOO 2025. – mStar

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda