Tahun ini sudah menandakan sedekad bagi kugiran Masdo bertapak dalam industri seni.
Menurut Kosmo, bagi meraikan tempoh tersebut, Masdo telah menghadiahkan peminat dengan konsert sulung berjudul Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun pada 31 Ogos lalu yang disaksikan lebih 2,000 pengunjung.
Selain meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, Masdo turut mencipta memori nostalgik dengan persembahan 21 lagu termasuk karya yang jarang didendangkan dalam acara muzik selama ini.
Berkonsepkan teaterikal, kumpulan yang dianggotai Ali Sariah, Asmawi dan Putu Ceri itu menyajikan video sektsa sebelum tampil ke pentas.
Memilih baju kemeja-T belang-belang, Masdo membuka tirai dengan lagu Teruna & Dara, Miss Flower Learn To Twist dan Malam Pesta Rock N Roll.
Dalam suasana penuh gembira, Masdo turut mengundang ibu masing-masing ke atas pentas ketika menyampaikan lagu Ratu Hatiku.
Pemain gitarnya iaitu Asmawi atau nama lengkapnya Muhammad Aizat Asymawi mendedahkan bahawa ibunya seorang pejuang kanser tetapi tidak diperincikan tentang penyakit tersebut.
Antara seleksi lagu lain yang dipersembahkan pada malam bersejarah tersebut, Bertemu Kembali, Perih Jerih, Lautan Asmara, Kasih & Sayang, Begini Jadinya dan Dewi Puspita.
Kemuncak persembahan konsert anjuran Hitman Solutions menyaksikan Masdo bergabung bersama Hujan dalam lagu hit Aku Skandal, sekali gus menutup malam penuh bermakna itu dengan sorakan gemuruh penonton. – Agensi


