Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masih ada guna plat pudar, rosak

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, memohon kerjasama syarikat-syarikat pembekal plat pendaftaran kenderaan untuk mematuhi pembekalan plat pendaftaran kenderaan mengikut spesifikasi, sementara itu, pemilik-pemilik kenderaan disarankan untuk menukarkan plat pendaftaran kenderaan yang pudar atau rosak dengan segera.

    Saranan itu dibuat oleh JPD dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, di mana jabatan itu menyatakan hasil pemantauan telah mendapati masih terdapat beberapa kenderaan-kenderaan yang digunakan di jalan raya dengan keadaan plat kenderaan rosak dan pudar.

    Kenyataan menyatakan bahawa plat pendaftaran kenderaan adalah tanda pengenalan bagi setiap kenderaan dan merupakan identiti penting bagi tujuan keselamatan pemilik kenderaan dan pengguna jalan raya lain.

    Secara ringkas, ciri-ciri plat pendaftaran kenderaan yang dibenarkan adalah mengikut Akta Lalu Lintas Jalan Raya (Penggal 68), Peraturan-peraturan Lalu Lintas Jalan Raya (Tanda Pengenalan), 2008 adalah diperbuat daripada aluminium dengan permukaan nombor tanda pengenalan timbul keluar (emboss).

    Plat pendaftaran kenderaan adalah berwarna hitam iaitu nombor tanda pengenalan berwarna putih di atas latar belakang berwarna hitam dengan ukuran yang ditetapkan dan menggunakan bahan yang tertentu.

    JPD memohon kerjasama syarikat-syarikat pembekal untuk mematuhi pembekalan plat pendaftaran kenderaan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh JPD.

    Pada masa sama, pemilik atau pengguna kenderaan disarankan untuk menukar plat pendaftaran kenderaan yang rosak atau pudar dengan segera.

    Sepertimana pada siaran akhbar JPD bertarikh 23 Disember 2020 yang lalu, pada masa ini syarikat-syarikat pembekal menawarkan potongan harga bagi menggantikan plat pendaftaran kenderaan sehingga tempoh tawaran berakhir pada 31 Mac ini.

    Oleh itu, adalah diharapkan pemilik atau pengguna kenderaan mengambil peluang ini untuk menukar plat pendaftaran yang rosak atau pudar.

    JPD boleh mengambil tindakan membatalkan atau menggantung operasi syarikat-syarikat jika didapati tidak mematuhi peraturan-peraturan pembekalan, pembuatan dan pemasangan plat bilangan pendaftaran kenderaan.

    Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenainya boleh menghubungi jabatan tersebut di talian 2451979/80/87 sambungan 111 pada waktu pejabat atau emel awvis@jpd.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda