Saturday, July 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masih ada harapan hentikan penularan – WHO

    GENEVA, 10 OGOS – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan hari ini masih ada harapan untuk menghentikan penularan wabak COVID-19 walaupun keperitan dan penderitaan di sebalik jumlah kematian mencecah 750,000 dan 20 juta kes.

    WHO mengatakan tidak pernah terlambat untuk mengambil tindakan untuk menangani krisis COVID-19 yang telah menjejaskan seluruh dunia.

    “Minggu ini kita akan mencapai 20 juta kes COVID-19 dan 750,000 kematian,” kata ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang media dalam talian.

    “Di sebalik statistik ini terdapat banyak keperitan dan penderitaan. Setiap nyawa hilang. Saya tahu banyak di antara anda yang bersedih dan bahawa ini adalah saat yang sukar bagi dunia.

    “Tetapi saya ingin jelaskan masih ada harapan dan tidak pernah terlambat untuk mengubah wabak itu.”

    Tedros memberikan contoh negara-negara yang berjaya mengatasi penularan virus tersebut, dengan menyebut New Zealand dan Rwanda.

    Dia juga memuji Britain dan Perancis yang mengambil langkah-langkah segera untuk mengatasi penularan baharu, seperti mengenakan sekatan di utara England dan mewajibkan memakai penutup mulut dan hidung di Paris. “Mesej saya jelas, mencegah dan terus mencegah virus itu,” katanya.

    “Sekiranya kita mencegah virus dengan berkesan, kita akan dapat membuka semula negara dengan selamat.” – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda