Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masih ada perikemanusiaan

    SYDNEY, 1 SEPT – Ratusan warga Australia menyertai perhimpunan hari ini mendesak kerajaan agar tidak mengusir empat sekeluarga Tamil termasuk dua orang anaknya kelahiran Australia, yang mana kesnya mencetuskan kritikan terhadap dasar imigresen negara itu.

    Keluarga yang berjuang untuk terus kekal di Australia kerana bimbang akan dianiaya di Sri Lanka dipindahkan ke tahanan Pulau Krismas pada Sabtu selepas seorang hakim menghalang percubaan kerajaan untuk mengusir mereka.

    Dengan injunksi tindakan kerajaan yang akan berakhir pada Rabu, rakyat Australia berkumpul di bandar-bandar di seluruh negara untuk menentang penghantaran pulang mereka dengan orang ramai melaung-laungkan slogan ‘biarkan mereka tinggal’.

    Di Melbourne, di mana keluarga itu menghabiskan hampir 18 bulan dalam tahanan, hampir seribu orang menyertai perhimpunan, sementara di Sydney, pihak polis menganggarkan sekitar 600 orang turun ke jalan raya.

    Keluarga Tamil itu mendapat sokongan umum pimpinan jirannya yang meluas di sebuah bandar kecil di Queensland termasuk sokongan tidak dijangka daripada beberapa komentator dan ahli politik sayap kanan.

    Ketua Pembangkang Anthony Albanese berkata beliau telah membangkitkan perkara itu secara langsung kepada Perdana Menteri Scott Morrison dan mendesak beliau untuk ‘mendengarkan apa yang masyarakat katakan begitu kuat’.

    Dasar-dasar keras imigresen kerajaan konservatif termasuk menghalau pelarian yang tiba dengan bot atau menghantar pendatang ke pusat tahanan de facto luar pantai dikutuk oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

    Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Peter Dutton menegaskan keluarga Tamil itu tiba di Australia dengan bot berasingan pada 2012 dan 2013 untuk mencari suaka, bukan pelarian dan mereka tidak layak mendapat perlindungan.

    Kedua-dua anak perempuan keluarga itu, Kopika yang berusia empat tahun dan Tharunicca, dua tahun, dilahirkan di Australia tetapi tidak mempunyai kewarganegaraan. Mereka tidak pernah ke Sri Lanka. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda