Tuesday, December 24, 2024
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masih ada yang ingkar Akta Kawalan Harga

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar serahan JPES

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Enam buah premis perniagaan telah dikenakan kompaun atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya, bagi bulan April hingga pertengahan Mei 2023.

    Menurut Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hasil kerja-kerja pemeriksaan rutin penguatkuasaan telah mendapati tiga premis menjual barangan dikawal harga melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan masing-masing dikenakan kompaun sebanyak $500.

    Manakala, empat premis lagi dikompaun kerana didapati tidak mempamerkan tanda harga atau mempamerkan tanda harga yang tidak selaras dengan harga yang tercatat di dalam sistem dengan sebuah premis dikompaun $700 dan tiga yang lain masing-masing dikompaun $500.

    Di samping itu, tujuh notis amaran juga telah dikeluarkan atas beberapa kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 termasuk menjual barangan dikawal harga melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan mempamerkan tanda harga yang tidak selaras dengan harga yang tercatat dalam sistem bagi beberapa barangan yang dijual di premis perniagaan terbabit hasil daripada aduan pengguna yang diterima JPES.

    JPES mengingatkan para peniaga untuk sentiasa bertanggungjawab dalam menjalankan perniagaan dengan mengamalkan perniagaan yang beretika serta mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya dalam usaha untuk membangunkan ekosistem perniagaan domestik yang sihat dan berdaya tahan.

    JPES dalam kenyataannya turut menyarankan kepada para pengguna untuk menggunakan saluran-saluran rasmi yang disediakan bagi menyalurkan sebarang aduan atau maklum balas berkaitan dengan Akta Kawalan Harga, Penggal 142 melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak; Talian Darussalam 123.

    Sebarang maklumat lanjut mengenai Akta Kawalan Harga, Penggal 142 juga boleh diperolehi melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak dan laman sesawang rasmi JPES.

    Pegawai penguat kuasa menjalankan pemeriksaan ke atas salah sebuah premis perniagaan. Gambar sisipan menunjukkan tanda harga yang dipamerkan tidak selaras dengan harga yang tercatat dalam sistem.
    Pegawai penguatkuasa semasa menjalankan pemeriksaan di salah sebuah premis perniagaan.
    Harga barangan yang tidak selaras di salah sebuah premis perniagaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda