DUA puluh lima tahun telah ku tinggalkan daerah ini. Daerah yang banyak mencatat sejarah duka dalam kamus hidupku. Daerah yang banyak mengajar aku erti sebuah kehidupan……dan daerah ini juga menemukan aku dengan cinta dari seorang yang bernama lelaki. Sawah yang terbentang luas menyaksikan percintaan kami. Beburung berlagu indah bagaikan meraikan cinta suci kami. Yang indah hanyalah sementara….dengan hati yang berdarah, kutinggalkan daerah ini. Kucuba untuk membina hidup baru berbekalkan semangat yang hampir hilang.
Betapa aku tidak kuat untuk menerima hakikat bahawa ayah dan ibuku telah pergi menemui Ilahi setelah terlibat dengan kemalangan jalanraya. Air mata semakin laju mengalir ke pipiku bila mengenang arwah ibu dan ayah. Pengorbanan mereka terlalu besar padaku dan adik-adik. Ya Allah, tempatkanlah ayah dan ibuku bersama-sama orang yang soleh. “Siti, kuatkan semangat yer. Tabahkan hatimu dengan ujian ini. Aku sentiasa bersamamu walau apa pun yang berlaku.”
Masih terngiang-ngiang kata-kata dari lelaki itu di telingaku. Dia sentiasa ada di saat aku memerlukannya. Dia mengambil berat tentang diriku dan adik-adik. Masih ada lagi insan yang prihatin terhadap kami. Kupanjatkan syukur padamu ya Allah. Mak Ngah mengajak kami tinggal bersamanya. Kami pun hanya ada Mak Ngah tempat untuk menumpang kasih. Kebetulan pula Mak Ngah tidak mempunyai anak.
Sebelum ini Mak Ngah tinggal bersendirian setelah pemergian Pak Ngah dua tahun lepas. Kata Mak Ngah, hidupnya tidak sepi lagi dengan kehadiran kami. Mak Ngah satu-satunya adik arwah ayah. Saudara-mara sebelah ibu aku tidak ketahui kerana ibuku berasal dari Selatan Thailand. Arwah ibu tidak pernah membawa kami berjumpa dengan saudara-maranya dan ibu juga jarang bercerita kisah saudara-mara nya. “Siti, Mak Ngah nak bagi tahu ni. Semalam keluarga Rashid datang merisik,” perlahan suara Mak Ngah.
Aku hanya membisu. Ku tahu Rashid menaruh hati kepadaku tapi aku anggap Rashid sebagai kawan sahaja. Tidak lebih dari itu. Maafkan aku Rashid. “Semua Mak Ngah serahkan pada Siti. Kalau Siti sudah ada pilihan hati, Mak Ngah tak kisah.” Berat rasa hati ini untuk memberitahu Mak Ngah bahawa aku sudah ada pilihan hati. Malu pun ada. Dia telah berjaya mencuri hatiku. Dia cinta pertama dan terakhir aku. ” Mak Ngah………”, suaraku tersekat. “Sebenarnya Siti sudah ada pilihan sendiri. Dia orang daerah ini juga.”
Mak Ngah mengukir senyuman. ” Lega hati Mak Ngah mendengarnya. Hisyam ke yang Siti maksudkan tu?” Soal Mak Ngah. Aku mengangguk. “Mak Ngah pun berkenan dengan Hisyam tu. Mudahan ada jodoh antara kamu berdua.” Hari-hari yang kulalui terasa indah dan membahagiakan di samping insan yang kucintai. Bagiku Hisyam memenuhi ciri-ciri lelaki idaman hati. Wajah kacak Hisyam buat aku termimpi-mimpi. Senyuman Hisyam bisa mencairkan hatiku.
Percintaan kami berakhir dengan ikatan pertunangan. Saat ibu Hisyam menyarungkan cincin ke jari manisku….terasa amat membahagiakan sekali. Ya Allah, syukur kepadamu kerana aku kini menjadi tunang Hisyam.
Sebulan aku menjadi tunang Hisyam, perkhabaran menggembirakan ku terima. Permohonan aku untuk ke maktab perguruan berjaya. Jadi tempoh pertunangan kami dilanjutkan kepada tiga tahun. Ini kerana aku mengikuti kursus perguruan selama tiga tahun di maktab. Gembira kurasa kerana cita-citaku untuk menjadi seorang guru tercapai. Hisyam turut gembira dengan perkhabaran ini serta sanggup menunggu sehingga aku tamat mengikuti kursus perguruan. Sokongan Hisyam menjadikan aku makin bersemangat. Kata Hisyam jangan terpikat dengan bakal guru kat maktab pula. Aku hanya tersenyum sahaja mendengar usikan Hisyam itu.
Sewaktu berangkat ke MPIP, hatiku dibuai sayu kerana terpaksa berpisah dengan adik-adik, Mak Ngah dan tunangku Hisyam. Tika dan waktu itu, surat menjadi penghubung di antara aku dan Hisyam. Setiap minggu aku pasti menerima tiga pucuk surat darinya. Biar pun ada yang cuba untuk mendekatkan diri dengan aku namun ku tolak dengan alasan aku tunangan orang. Hisyam….aku tetap setia padamu. Cintaku padamu tidak akan beralih arah. Percayalah padaku.
Hisyam ditukarkan ke selatan tanah air kerana kenaikan pangkat. Hatiku sedikit tergugat kerana aku takut Hisyam terpikat dengan wanita lain. Ku pujuk hati ini supaya tidak memikirkan sesuatu yang buruk. Hisyam tetap menghubungiku walau pun dia berada jauh di selatan. Setiap hari lepas solat ku panjatkan doa agar jodohku dengan Hisyam ada.
Hatiku tersentak dan jantungku seakan gugur apabila Mak Ngah memberitahu keluarga Hisyam datang ke rumah untuk memutuskan pertunangan kami. Apa salahku sehingga Hisyam bertindak sedemikian. Berhari-hari aku menangis serta mengurungkan diri dalam bilik. Hancur luluh hati ini…..impianku berkecai. Aku cuba untuk bertemu dengan Hisyam tetapi dia cuba mengelak dengan memberi pelbagai alasan.
“Siti, bersabar banyak2 yer. Usah merayu lagi pada orang yang tak sudi. Kuatkan semangat. Pasti ada hikmah di sebalik semua ini,” pujuk teman baikku Azura. ” Aku sayangkan Hisyam, aku cinta dia sepenuh hati.” Luahku tanpa segan silu. “Tapi dia kan sudah memutuskan pertunangan. Biarkanlah dia…yang penting Siti kena kuat hadapi semua ni.”
Di saat aku dilanda kesedihan, Azura sentiasa memberi semangat kepadaku. Dialah teman di kala aku susah dan senang. Terima kasih Azura kerana memahami diri ini. Aku mengajak Mak Ngah serta adik-adik berpindah ke utara tanah air di mana aku bertugas. Mak Ngah mengikut aku tanpa bantahan. Mak Ngah amat menyayangiku dan dia tidak mahu melihat aku terus bersedih. Adik keduaku pula bekerja sebagai jururawat dan dia akan balik bila ada cuti. Adik bungsuku pula baru tamat tingkatan lima. ” Cikgu Siti Balqis….”, ada suara memanggil namaku.
Aku menoleh ke arah suara itu. Dia menguntum senyuman. Aku kenal sangat dengan senyuman itu. ” Boleh kita berbual sekejap,” pintanya. Aku mengangukkan kepala kerana sudah lama aku tidak berjumpa dengannya sejak berpindah ke tempat baru.
Dari cerita Rashid dapatlah aku tahu bahawa Hisyam sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Doaku moga dia bahagia dengan pilihan hatinya. Aku redha dengan apa yang berlaku.
“Siti, aku masih setia menunggumu. Berilah aku peluang,” rayu Rasyid. “Rasyid, buat masa ini aku mahu bersendiri. Aku dah serik untuk bercinta. Jangan mengharap apa-apa dariku yer.” “Mengapa merajuk sampai tak ingat nak balik kampung.” “Entahlah Rasyid, aku dah seronok kat sini. Aku mahu lupakan segalanya. Buat apa nak membazir masa mengingatkan orang yang sudah lupakan kita kan.” “Aku kan ada.” “Rasyid, cinta tak boleh dipaksa. Biarlah ia hadir sendiri.”
Akhirnya aku berjaya melupakan kisahku dengan Hisyam. Kesibukan dengan kerja membuatkan aku tidak ada masa untuk memikirkan pasal kahwin.” Siti, kalau ada yang berkenan terimalah. Mak Ngah teringin nak tengok Siti kahwin.” ” Entahlah Mak Ngah….rasanya hidup sendiri pun ok juga.”
Lama-kelamaan Mak Ngah pun malas berbicara pasal kahwin. Kalau ada jodoh ada la….ku berserah sahaja. Terdengar juga gosip-gosip yang mengatakan aku ni pemilih. Biarkanlah. Aku tak ambik hati pun. Mereka tidak tahu apa yang telah aku lalui sehingga membuatkan kepercayaanku pada kaum Adam pudar.
Akhirnya jodohku tiba juga di saat umurku 35 tahun. Aku menerima lamaran dari Kamal. Sebenarnya kami tidak pernah bercinta. Semuanya di atur oleh kawan satu sekolahku yang mana Kamal adalah sepupunya. Alhamdulilah kehidupanku bahagia di samping Kamal serta dikurniakan dengan dua orang puteri.
Permintaan Mak Ngah untuk pulang beraya di daerah yang telah lama kutinggalkan membuatkan aku terkedu. Sebolehnya aku tidak mahu menjejakkan kaki ke situ lagi kerana ku takut luka lama berdarah kembali. Tetapi aku kasihan juga pada Mak Ngah kerana dia juga merindui rumah lama yang ditinggalkan…..sebelum ini ada orang menyewa rumah Mak Ngah. Adikku menemani Mak Ngah ke daerah itu setiap tahun….Cuma aku sahaja yang degil. ” Jom ler kita beraya kat kampung. Abang pun nak merasai suasana beraya di kampung” Tiap-tiap tahun asyik beraya kat bandar jer.”
Amboi Kamal pun nak ikut Mak Ngah beraya kat kampung juga. Anak-anakku pun gembira bila Kamal memberitahu akan beraya di kampung. Tapi aku seorang jer yang berbelah bahagi. Tak kan aku nak beraya seorang diri kat sini pulak…..Tak boleh jadi ni. ” Sayang, yang lepas jangan di kenang lagi. Lagi pun dah lama peristiwa tu berlaku.” Betul juga kata Kamal tu. Buat apa nak dikenang lagi. Semua sudah ada kehidupan masing-masing. Aku bahagia dengan kehidupan sekarang.
Tetiba aku menjadi rindu pada daerah yang kutinggalkan itu. Tidak sabar rasanya untuk beraya di sana. Akhirnya aku mendapat tahu punca Hisyam memutuskan pertunangan kami dulu. Hisyam dan wanita itu terlibat dalam kemalangan jalanraya sewaktu mahu pergi berkursus. Wanita itu mengalami kecacatan disebabkan kemalangan tersebut. Tangan kirinya terpaksa dipotong. Hisyam pula hanya mengalami kecederaan ringan sahaja. Manakala kawan Hisyam meninggal dunia di tempat kejadian. Kebetulan pulak kawan Hisyam itu merupakan tunang wanita tersebut. Atas rasa bertanggungjawab, Hisyam mengambil keputusan untuk berkahwin dengan wanita itu.
Mengapa Hisyam tidak berterus terang padaku dari dulu lagi. Rupanya Hisyam tidak sanggup untuk berdepan denganku kerana tidak sanggup mengecewakan ku. Apa lagi jika melihat aku menangis. Aku bukanlah manusia pendendam…aku sudah lama memaafkanmu Hisyam. ” Abang, Siti nak ikut beraya kat kampung bersama.” “Macam tu ler isteri abang. Tak kan sanggup beraya sorang-sorang kan,” usik Kamal. ” Entah-entah rindu orang kat sana,” makin galak Kamal mengusikku.” Yang kat depan mata dah lengkap segalanya,” ujarku selamba.
Kamal adalah seorang suami yang penyayang serta bertanggungjawab. Dia tidak pernah meninggikan suara walau pun dalam keadaan marah. Dia sentiasa sabar dengan kerenahku. Inilah hikmah di sebalik apa yang telah berlaku dalam hidupku. Terima kasih ya Allah dengan apa yang telah kau berikan pada aku selama ini. Sesungguhnya perancangan Allah itu adalah yang sebaik-baiknya.