FIKIRKAN semua orang kenal, rupanya masih ada yang tidak tahu siapa Datuk Rosyam Nor. Itulah yang dialami pelakon dan penerbit popular, Rosyam, 52, apabila klip video memaparkan seorang warga emas tidak mengenali dirinya, ketika mereka bertemu di program tanggungjawab sosial korporat (CSR), baru-baru ini.
Rosyam atau nama sebenarnya, Mohamed Noor Shamsuddin memberitahu, selama ini dia memikirkan, dirinya sudah cukup dikenali di Malaysia. “Selama ini, saya sangka semua orang yang sudah berusia kenal saya. Rupa-rupanya ada lagi orang yang tak kenal saya. Dalam program CSR baru-baru ini, saya jumpa seorang makcik dan mengucapkan terima kasih kepadanya kerana menyokong karier saya selama ini. Sebaliknya, makcik itu membalas dengan pertanyaan siapa kamu dalam dialek Kelantan. Saya rasa macam kena tumbuk di muka… Perasan sangat semua orang kenal kita,” katanya kepada media.
Menganggap insiden itu melucukan, Rosyam memuat naik rakaman itu di Instagram. Perkongsian itu pantas menarik perhatian peminat yang rata-rata terhibur dengan telatah wanita terbabit dan mendoakan semoga Rosyam murah rezeki. Dalam perkembangan lain, Rosyam berkata, produk jus berasaskan durian Belanda keluarannya yang diberi nama Adraa dianggap hadiah buat kepada peminat.
Sehubungan itu, Rosyam mahu peminat sama-sama menjual produk Adraa dan meraih pendapatan. “Tanpa peminat, saya tidak akan berada di tempat sekarang. Jadi saya perlu membalas sesuatu kepada mereka seperti membuka gedung ST Rosyam Mart agar peminat dapat membeli barangan mentah murah,” katanya yang memperkenalkan pakej khas penjualan produk Adraa kepada yang berminat. – Agensi
