De Fam muncul antara kumpulan wanita tempatan yang cukup lama bertahan dengan pembabitan lebih 10 tahun dalam dunia seni tanah air.
Azira Shafinaz, Cik Manggis dan Sophia Liana sepanjang tempoh itu meraih pelbagai pencapaian termasuk penghasilan rangkaian single hits antaranya Supergirls, With You, Bila Kamu dan Panas.
Namun progres trio yang layak diberi jolokan Triple Threat ini kelihatan sedikit perlahan beberapa tahun kebelakangan ini apabila ketiga-tiganya terlihat lebih sibuk menjayakan projek secara individu.Ditambah lagi dengan kehadiran kumpulan wanita yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan membuatkan populariti De Fam jatuh menjunam.
Situasi itu menghadirkan pelbagai persoalan tentang masa depan kumpulan ini. Hadir pemerhati yang menjangkakan De Fam bakal mengikuti jejak langkah kumpulan-kumpulan wanita terdahulu yang selepas beberapa tahun, berpecah.
Namun, tanggapan tersebut meleset dengan kemunculan single kelima mereka, Berubah tahun ini. De Fam membuktikan mereka relevan apabila lagu berentak slow pop itu berjaya mencuri tumpuan.
Azira, ketika menjawab tentang hala tuju kumpulan itu memaklumkan De Fam belum sedia mencari titik noktah. Malah, kesibukan dengan kerjaya persendirian bukan bermaksud mereka sedang mencari kata pisah.
“Kami masih bersama, walaupun kebanyakan masa kami sibuk dengan projek masing-masing. Malah, kisah yang diceritakan dalam muzik video lagu tersebut juga sudah cukup menjelaskan bahawa kami tetap bersama sebagai sebuah kumpulan,” katanya kepada Utusan Malaysia. – Agensi
