Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Masih hidup setelah disengat 240 kali

    BRECON, 3 SEPT – Seorang lelaki berusia 57 tahun terpaksa dimasukkan ke hospital dan diberikan morfin supaya dia dapat menahan kesakitan akibat 240 sengatan tebuan selepas diserang oleh sekumpulan tebuan yang marah.

    Menurut kenyataan Oddity Central, pada 18 Ogos lalu, Andrew Powell keluar dari rumah keluarganya berhampiran Brecon, Wales, untuk memeriksa ladang, seperti yang biasa dilakukannya, hanya melihat sekumpulan besar tebuan meluru ke arahnya.

    Dia mengesyaki bahawa seseorang, mungkin petani lain, telah mengganggu sarang tebuan kerana ia datang terus ke arahnya dan mula menyengatnya.

    Tidak dapat mempertahankan dirinya daripada apa yang disyakinya adalah ribuan tebuan yang marah, Powell berlari menuju ke rumahnya sambil melawan serangga itu sebaik mungkin.

    Tebuan itu mengekorinya masuk ke dalam rumah, juga menyerang isterinya, dan berjaya menyengat lelaki berusia 57 tahun itu lebih 240 kali, meninggalkannya dalam kesakitan dan memerlukan rawatan perubatan.

    Seorang lelaki di Wales disengat lebih 240 kali oleh sekumpulan besar tebuan yang marah akibat sarang mereka dikacau oleh seseorang. – Agensi

    “Kumpulan tebuan itu meluru ke arah saya dan saya mula berlari menuju ke rumah sepantas mungkin tetapi dalam beberapa saat ia berjaya mengepung saya. Saya dapat merasakan serangga itu di dalam seluar saya. Tebuan ada di mana-mana,” kata Andrew Powell.

    “Saya berlari masuk ke dalam rumah tetapi ketika itu saya terlupa menutup pintu di belakang saya dan ia masuk ke dalam rumah.”

    Nasib baik, salah seorang jiran lelaki itu datang membantunya dan membawanya ke Brecon War Memorial Hospital, di mana dia diberikan morfin untuk melegakan kesakitan yang melampau dan adrenalin untuk reaksi alahan badannya.

    Dia mendakwa bahawa kakitangan hospital memberitahunya jika terlambat sahaja dalam lima minit, ia boleh membunuhnya,

    Lebih seminggu selepas kejadian itu, Powell mendakwa beratus-ratus sengatannya masih menyakitkan, walaupun dia kini boleh menahan kesakitan itu tanpa ubat.

    Dia masih tidak berani keluar dari rumah kerana takut diserang lagi. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda